Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang pembentangan bajet di Parlimen 23 Oktober ini, pemandu teksi di Lembah kelang berharap kerajaan dapat menyediakan dana dalam menyelesaikan masalah harian yang dihadapi mereka.

Malaysiakini berjumpa dengan beberapa pemandu teksi di Hentian KL Sentral dan mereka menggesa kerajaan menyediakan lebih banyak tempat mengisi gas NGV dan meneruskan pemberian subsidi tayar yang kini dihentikan.

Selain itu, mereka turut mencadangkan agar diberi pemilikan permit persendirian teksi dapat serta memperkenalkan kad 'Touch n Go' khusus buat pemandu teksi.

Raja Mansor Raja Ahmad berharap kerajaan memberi subsidi bayaran muka membeli kereta baru sebanyak RM15,000 memandangkan beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri dan ia terlalu membebankan.

“Minta kerajaan beri bantuan subsidi untuk membeli teksi. Sekarang ini perlu bayar RM15,000 duit sendiri untuk beli kereta baru.

“Subsidi ini diperlukan untuk mula beli kereta, ia beban dan setiap bulan kita perlu pula bayar kepada syarikat,” kata pemandu teksi yang berusia 77 tahun itu kepada Malaysiakini.

Bagi pemandu teksi Ramli Mohamed pula, beliau berhadapan dengan masalah kekurangan tempat mengisi gas NGV kerana hanya ada lima lokasi di Kuala Lumpur yang mempunyai perkhidmatan tersebut.

Katanya oleh kerana tempat yang terhad beliau terpaksa menunggu sehingga 30 minit hanya untuk mengisi gas itu.

Beliau turut mencadangkan agar setiap stesen Petronas menempatkan pam untuk gas NGV bagi kemudahan setiap pemandu teksi.

“Tempatkan gas NGV di setiap Petronas di Kuala Lumpur kerana jumlahnya terlalu sedikit.

“Sekiranya terlalu banyak teksi yang menunggu menyebabkan masa terbuang begitu sahaja,” kata pemandu berusia 74 tahun itu.

Beliau turut menggesa kerajaan meneruskan pemberian subsidi tayar seperti yang pernah dibuat ketika Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

“Jangan hanya ketika pilihan raya saja beri tayar percuma, sudah dua tahun tidak dapat tayar, minta kekalkan subsidi itu,” katanya.

Manakala bagi pemandu teksi Mohd Sabar Miskan beliau mencadangkan agar pemandu yang telah memandu lebih daripada 10 tahun diberikan permit persendirian tanpa perlu bergantung dengan syarikat teksi.

“Mahu permit sendiri dan minta kerajaan beri kelonggaran kepada pemandu yang telah memandu melebih 10 tahun tanpa bergantung kepada syarikat teksi.

“Kalau bergantung kepada syarikat ini kita perlu bayar sewa dan ianya mahal,” katanya yang berusia 52 tahun.

Sementara itu, pemandu teksi Selvan Raman 54, buat kadar harga meter bagi teksi pada masa in tidak sesuai, manakala kos sara hidup semakin tinggi kerana adanya GST dan terlalu banyak teksi.

“Tahun depan MRT dan LRT akan jejaskan pendapatan kami, saya tak mahu teksi jenis grabtaxi, uber berleluasa kerana ia ganggu mata pencarian,” katanya yang berusia

Pemandu teksi, Musa Las pula mencadangkan agar kad 'Touch n Go' khusus buat teksi dimasukkan dalam bajet tahun depan.

Ia kerana sebelum ini pemandu teksi menikmati bayaran separuh harga namun kini tidak lagi apabila hampir kesemua tol di Kuala Lumpur menggunakan perkhidmatan 'Touch n Go' yang perlu dibayar penuh seperti kenderaan lain.

“Cadangkan ada 'Touch n Go' khas untuk pemandu teksi kerana sebelum ini jika bayar tunai di tol dia cuma separuh harga. Kekalkan harga separuh sama dalam 'Touch n Go' khusus buat teksi itu seperti dulu,” katanya yang berusia 53 tahun.

Isnin lalu Najib mengajak rakyat untuk bersama-sama memberikan cadangan mengenai bajet sebelum 15 September ini untuk dimasukkan dalam Bajet 2016 yang akan dibentang di Parlimen, 23 Oktober ini.

Najib yang juga menteri kewangan, berkata cadangan tersebut boleh dikemukakan kepadanya menerusi laman webnya.

Lihat Komen
ADS