Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
354 pelajar Malaysia di Sumatera akan berpindah
Diterbitkan:  Sep 15, 2015 8:41 PM
Dikemaskini: Sep 16, 2015 12:54 AM

Sebanyak 354 pelajar Malaysia di Jambi, Pekanbaru dan Palembang di Sumatera, Indonesia akan dipindahkan dari kampus universiti masing-masing berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terbabit kini di tahap sangat tidak sihat.

Pengarah Education Malaysia (EM) di Indonesia Dr Juzhar Jusoh memberitahu Bernama di Jakarta hari ini, daripada jumlah itu sebanyak 193 pelajar adalah dari Universitas Islam Negeri Syarif Kasim di Pekanbaru.

Katanya, sebanyak 103 pelajar lagi dari Institut Agama Islam Negeri Sultan Saifuddin di Jambi dan 58 pelajar adalah dari Universitas Sriwijaya dan Institut Agama Islam Negeri Intan Lampung di Palembang.

"Sebanyak 44 pelajar perubatan yang sedang menjalani latihan klinikal di kawasan luar Kota Jambi telah dipindahkan ke Asrama Haji di Padang dan mendapat pelepasan selama lima hari dari universiti," katanya.

Beliau berkata, pihak Majlis Keselamatan Negara sedang berurusan bagi membantu memindahkan pelajar Malaysia ke tempat yang lebih selamat.

Juzhar berkata, keadaan jerebu di kawasan-kawasan terbabit sebenarnya adalah tidak sihat sejak tiga minggu lepas namun EM mengalami masalah untuk memindahkan pelajar kerana kuliah masih berlangsung seperti biasa dan pihak universiti enggan memberi cuti.

Katanya, sebagai langkah awal EM menerusi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia telah mengedarkan topeng mulut dan ubat air mata kepada semua pelajar Malaysia sejak tiga minggu itu.

Beliau berkata bagaimanapun setelah keadaan jerebu di kawsan-kawasan terbabit semakin memburuk dengan bacaan IPU melebihi 400 dan menyebabkan ramai pelajar Malaysia terutamanya pelajar perempuan telah mengadu sakit dan batuk selain menghadapi masalah bekalan air bersih.

"Disebabkan Pihak Berkuasa Tempatan masih tidak mengisytiharkan darurat di kawasan terbabit, pengurusan universiti tidak memberi pelepasan kepada pelajar untuk bercuti tetapi kita terus membuat permohonan pelepasan untuk pelajar Malaysia memandangkan ramai di antara mereka telah sakit," katanya.

Juzhar berkata, Kementerian Pengajian Tinggi telah memberi respon segera setelah menerima laporan EM supaya pelajar di kawasan berkenaan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.

Indonesia hari ini mengisytiharkan Riau di wilayah Sumatera sebagai kawasan darurat setelah keadaan jerebu di wilayah tersebut dilapor berada pada tahap sangat berbahaya.

Media tempatan melaporkan Indeks Pencemaran Udara di Riau melebihi bacaan 900 dengan tahap penglihatan tidak sampai 100 meter yang mengakibatkan aktiviti ekonomi dan sosial temasuk di Lapangan Terbang Internasional Sultan Syarif Kasim II lumpuh.

Akhbar tempatan Riau, Tribun Pekanbaru memetik Pemangku Gabenor Riau, Arsyadjuliandi Rachman sebagai berkata ibu kota Riau iaitu Pekanbaru berada dalam keadaan sangat tidak sihat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS