Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun ada suara menuntut agar Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Petaling, bagi kebanyakan pemilik gerai di situ berpendapat kawasan berkenaan wujud hasil kerja keras mereka hampir 100 tahun lalu.

Kini menempatkan kira-kira 700 gerai yang menjual pelbagai barangan, ia dimiliki peniaga Cina walaupun kebanyakannya dijaga pekerja warga asing.

Pada sambutan Hari Malaysia lalu, sekumpulan peserta Himpunan Rakyat Bersatu berkumpul di depan pintu masuk Jalan Petaling dan berkeras mahu merempuh masuk ke pusat komersial berkenaan.

Namun usaha itu gagal apabila ia dikawal anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Sehari kemudian pemimpin baju merah Datuk Jamal Md Yunos dalam sidang medianya mendakwa Jalan Petaling merupakan tempat "perkauman" dan menyeru agar penjaja Cina berkongsi tempat itu dengan penjaja Melayu.

Namun, kebanyakan penjaja tidak bersetuju, sebaliknya mereka mencadang Jamal memohon kepada pihak berkuasa untuk membuka pusat penjaja khas Melayu di lokasi lain.

Sesetengah penjaja di situ berkata, mereka bertungkus-lumus di Jalan Petaling sejak muda sebelum akhirnya menjadi pemilik gerai.

Sebahagian yang lain pula mewarisi gerai berkenaan daripada nenek moyang masing-masing.

"Tidak perlu kongsi lokasi ini dengan kami, " kata Low Chee Hong, 49, pemilik gerai menjual cenderamata kepada Malaysiakini.

Low mencari rezeki di Jalan Petaling sejak 30 tahun lalu. Ia bermula secara sambilan ketika dia masih bersekolah dan baru berusia 18 tahun.

Dia kemudian membuka gerai sendiri dengan modal hanya beberapa ribu ringgit.

Berniaga 12 jam

Setiap hari, Hong berniaga selama 12 jam mulai 10 pagi.

"Saya menghabiskan lebih banyak masa di sini berbanding di rumah," katanya ketawa.

Chong Yoke Yean, 44, pula memiliki gerai menjual roti ban dan mewarisi perniagaan itu daripada datuk suaminya sejak 20 tahun lalu.

Seperti penjaja lain, Chong menutup gerainya pada hari himpunan baju merah dilangsungkan.

Pada pendapat Chong, kumpulan baju merah itu hanyalah kumpulan kecil Melayu dan tidak mewakili pendirian keseluruhan bangsa Melayu di Malaysia.

"Melayu di seluruh Malaysia tidak semestinya menyokong tindakan mereka. Saya tidak bimbang kerana ini adalah negara berdemokrasi, jikalau pihak berkuasa berdiam diri hanya memalukan kredibiliti mereka," katanya ketika ditemui.

Chong turut berpendapat bahawa tidak mungkin untuk membenarkan penjaja Melayu berniaga di Jalan Petaling.

"Sini adalah Chinatown, kami senantiasa bersatu hati mempertahankan kawasan ini," katanya.

Salah seorang pemilik gerai menjual baju yang hanya mahu dikenali sebagai Law, 52, pula menyoal apakah tujuan Jamal membuat cadangan itu.

"Adakah kamu berniat jahat untuk menyeru peniaga Melayu berniaga di Jalan Petaling?

"Sila minta satu jalan lain untuk peniaga Melayu. Ia sama seperti Jalan Chow Kit dan Jalan Masjid India yang merupakan tempat peniaga Melayu," katanya.

Cari nafkah sejak muda

Law yang berasal dari Johor mula menjadikan Jalan Petaling sebagai tempatnya mencari nafkah sejak muda.

Bagi Law, Jalan Petaling adalah komuniti yang sangat dekat dengan dirinya.

Mengenai himpunan baju merah, Law berkata, dia melihat program itu seolah-olah mendapat sokongan politik di belakang mereka.

"Mereka mengeluarkan hujah rasis. Mesti ada kuasa lain di belakang mereka," katanya.

Mengulas kepada dakwaan Jamal bahawa kebanyakan barang jualan di Jalan Petaling adalah produk tiruan, Law berkata ia bukan rahsia lagi, malah di tempat lain turut ada menjual barang tiruan.

"Sekarang pasar penuh dengan barang tiruan, termasuk di gerai penjaja Melayu," katanya.

Mengenai dakwaan jualan cakera video padat (VCD) lucah di Jalan Petaling, Hong secara sinis ketawa.

"Kamu datang sini carilah kalau ada orang jual VCD lagi. Siapa yang nak tengok VCD sekarang?" katanya.

Bagi pelancong dari Indonesia, Oki Doni, 46, 'Chinatown' yang mewakili komuniti Cina tidak patut dikaitkan dengan apa-apa isu perkauman.

Oki Doni merupakan Timbalan Datuk Bandar Tebing Tinggi, sebuah bandar di Sumatera Utara Indonesia, berkata beliau mengunjungi ke Jalan Petaling bersama isteri dan tiga anaknya.

Oki mengakui tahu akan apa yang berlaku 16 September lalu di Jalan Petaling, namun berpendapat kekecohan itu tidak patut berlaku.

"Chinatown di negara saya amat popular. Saya rasa ini tidak patut dikait dengan perkauman dan tidak patutnya mendiskriminasi kaum lain," katanya.

Lihat Komen
ADS