Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pintu masih terbuka untuk PAS menyertai gabungan baru pembangkang bersama PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH), kata timbalan presiden PKR Azmin Ali.

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata demikian ketika ditanya berhubung ketiadaan PAS dalam mesyuarat pembentukan itu hari ini.

"Perbincangan akan berterusan.

“(Presiden PKR Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail) telah menyatakan bahawa ini satu perbincangan awal yang membuka ruang untuk melihat tindakan seterusnya untuk menghadapi BN dalam pilihan raya akan datang.

"Kita sedang berbincang (dengan PAS), kita belum tutup pintu," kata ADUN Bukit Antarabangsa itu lagi.

Malah, katanya, perbincangan bukan sahaja dibuka kepada PAS tetapi kepada parti-parti lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pakatan Harapan hadir secara rasmi hari ini setelah persetujuan dicapai dalam persidangan meja bulan ketiga-tiga parti.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar turut hadir dalam himpunan itu tetapi hanya sebagai "wakil ahli parlimen pembangkang".

Naib Presiden PKR Tian Chua memberitahu, PAS telah menghantar surat makluman menyatakan tidak akan turut serta sesi hari ini.

PAS akan bermesyuarat memutuskan sikap muktamad dalam mesyuarat petang ini walaupun kenyataan tokoh-tokoh pentingnya kelihatan tidak berminat ke arah itu.

Lihat Komen
ADS