Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti berkata isu jerebu tidak menjadi tajuk utama perbincangan negara itu dalam Persidangan Menteri-menteri Asean yang bermula pada hari ini.

Sebaliknya, kata Badrodin, Indonesia akan memberi fokus kepada cara mengeratkan kerjasama antara negara serantau, selain memberi perhatian kepada isu penangkapan ikan secara haram di perairan negara itu.

“Kebakaran dan pembukaan tanah tidak menjadi agenda kerana ia bukan jenayah rentas negara," katanya kepada pemberita di Persidangan Menteri-Menteri Asean mengenai Jenayah Transnational kali ke -10 di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysia dan Singapura sekali lagi berdepan masalah jerebu akhir-akhir ini dengan keadaan dianggap lebih buruk berbanding sebelum ini.

Keadaan itu juga menyebabkan sekolah di beberapa negeri terpaksa ditutup bagi mengelak sebarang masalah kepada pelajar.

Kata Badrodin, mengenai isu jerebu setakat ini pihak berkuasa Indonesia sudah mendakwa 210 suspek di mahkamah kerana dipercayai melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka di negara itu.

Pelabur luar guna nama

Ditanya mengenai tindakan media Singapura yang menyiarkan berita menyalahkan negara Merah Putih itu, Badrodin berkata, punca sebenar masalah itu adalah datang daripada pelabur asing yang melabur di Indonesia menggunakan nama orang tempatan.

“Secara rasminya menggunakan nama orang Indonesia tapi secara sebetulnya guna saham orang asing.

“Kita sedang selidiki kerana biasanya pelabur asing itu biasanya bukan menggunakan nama sendiri tapi atas nama orang Indonesia,” katanya

Sebelum ini Singapura menghantar notis kepada empat syarikat Indonesia yang terbabit dengan pencemaran jerebu, seperti yang diperuntuk oleh Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA).

Terdahulu Agensi Alam Sekitar Singapura (NEA) berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti sepanjang empat tempoh jerebu itu melanda negara berkenaan.

NEA berkata siasatan setakat ini menunjukkan ada tanda-tanda bahawa jerebu mungkin berpunca daripada kebakaran di kawasan dipegang konsesi empat syarikat Indonesia.

Kata Badrodin, tindakan undang-undang akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat melanggar undang-undang sedia ada.

“Kalau bersalah kita akan bawa proses ke pengadilan kerana kita ada undang-undang perhutanan, perladangan dan undang-undang kelestarian hidup,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS