Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Ramesh Rao, jangan kurang ajar, biadap hina Dr M'
Diterbitkan:  Oct 1, 2015 6:55 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Umno bahagian Cheras memberi amaran kepada Pengerusi Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao yang dilapor mendakwa bersikap "kurang ajar dan biadap" menghina bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad.

Ketua Umno bahagian itu Datuk Seri Syed Ali Alhabshee turut menasihat Ramesh supaya menjalani pemeriksaan mental sebelum membuat tuduhan palsu kepada negarawan itu.

“Siapa Ramesh Rao mahu bersikap kurang ajar dan biadap kepada Tun Dr Mahathir Mohamad? Apa jasa Ramesh Rao kepada kepentingan rakyat dan negara memang tidak boleh dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Begitukah sikap seorang Pengerusi PMSP dalam menyampaikan pandangan dengan cara tidak beradab dan angkuh," tegas bekas senator itu dalam blognya hari ini.

Pada masa yang sama, Syed Ali memberi amaran kepada mana-mana pemimpin yang tiada kena mengena dengan Umno supaya tidak mecampuri urusan dalaman parti itu termasuk mencerca pemimpin banyak berjasa kepada rakyat dan negara.

Syed Ali mengulas kenyataan Ramesh yang dilapor oleh portal berita Free Malaysia Today bahawa beliau mendakwa dengan menasihati Dr Mahathir menjalani pemeriksaan mental setiap enam bulan sekali.

Laporan portal itu menyebut Ramesh mendakwa negarawan itu sudah gila setelah merestui perkara yang beliau sendiri menentang ketika menjadi perdana menteri.

Menulis dalam blognya hari ini, Syed Ali turut menempelak bahawa Ramesh tiada hak "mengeji dan menghina" tokoh yang banyak berjasa.

Manakala kritikan Dr Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah pandangan peribadi, kata Syed Ali lagi.

"Saya menyifatkan kenyataan Ramesh Rao jelas membabi buta dan langsung tidak mengenang jasa Tun Dr Mahathir yang selama ini memperjuangkan kepentingan rakyat semua bangsa di negara ini.

"Kenyataan Ramesh Rao bukan melambangkan pemimpin yang mampu menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini sebaliknya boleh dianggap prejudis kepada Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya.

Lihat Komen
ADS