Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed: Bukan nak laga, cuma dengar dari sumber lain

Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka menjelaskan, program anjurannya yang menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad bukan bertujuan untuk melagakan pemimpin, tetapi sebaliknya ia bermatlamat untuk memberi penjelasan kepada akar umbi.

Ketua cawangannya Syed Saifuddin Syed Harman berkata, program minum petang bersama bekas perdana menteri itu juga bertujuan untuk memberi peluang kepada orang ramai mendengar penjelasan berhubung hal parti daripada "sumber" lain.

" Program ini bukan bertujuan untuk lagakan sesiapa. Matlamat program ini untuk memberi penerangan jelas daripada sumber lain iaitu sumber yang kita dapat selain daripada pimpinan dan media massa.

"Terserah pada rakyat untuk buat penilaian di antara sumber yang datang dari Tun (Mahathir) dan sumber dari pihak pimpinan Umno. Masyarakat sekarang sudah bijak berfikir, untuk menilai dan menimbang sesuatu yang mana baik dan buruk, yang mana benar dan mana yang tidak.

"Kita tak mampu mengongkong pemikiran rakyat. Kita sudah terdedah dengan dunia pemberitaan seluasnya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mempersoalkan niat cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka yang menganjurkan program minum petang bersama Dr Mahathir Sabtu ini.

Malah, Tengku Adnan turut memberi peringatan kepada cawangan tersebut supaya tidak mengadakan program itu kerana tidak mahu orang ambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin.

Sehubungan itu, Syed Saifuddin berharap supaya ahli parlimen Putrajaya itu dapat memahami tujuan sebenar program anjuran cawangannya diadakan.

Malah, beliau turut meminta supaya menteri Wilayah Persekutuan itu supaya bersikap lebih "gentleman" dan terbuka untuk menerima kritikan.

"Kita harap Datuk Seri Tengku Adnan faham apa yang kita lakukan. Ini demi untuk kukuhkan kepercayaan rakyat pada Umno kerana disebabkan persepsi Umno di kalangan rakyat dan kebanyakan ahli Umno dah luntur dan persepsi ini kena ubah kalau tak nak malapetaka besar datang.

"Ku Nan, jadilah lelaki yang gentleman. Saya harap jadilah pemimpin yang boleh terima kritikan," ujarnya lagi.

Lihat Komen
ADS