Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti Perlis sokong larangan pembesar suara selain azan
Diterbitkan:  Oct 2, 2015 6:10 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Penggunaan pembesar suara untuk bacaan ayat Al-Quran atau berzikir, selain daripada azan patut dihentikan kerana menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan orang ramai terganggu, kata Mufti Perlis.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sesetengah pihak menganggap tindakan itu "perjuangan mempertahankan Islam", tetapi Islam sendiri mensyariatkan hanya azan yang patut dilaungkan dengan kuat.

"Bacaan selain azan yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai akan turut mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia adalah azan.

"Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Selain itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain," katanya Asri dalam laman sosial Facebooknya hari ini.

Asri berkata, perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad dan Islam menghalang ketenteraman awam diganggu.

"Suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salah faham banyak pihak," katanya.

Katanya, beliau tidak menolak hakikat bacaan Al-Quran dan zikir baik diamalkan tetapi umat Islam tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan itu.

"Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam.

"Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara," katanya.

Beliau berkata, dalam hadis ada menyebut Nabi Muhammad melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain beribadah.

"Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadat pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid.

"Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya," katanya.

Mufti Perlis itu turut memberi contoh ulama besar Muhammad Salih al-Uthaimin yang bersetuju bacaan selain azan menggunakan pembesar suara menyebabkan ramai yang akan terganggu.

Katanya, jika kenyataan tersebut boleh dikeluarkan oleh ulama terbilang Arab Saudi di mana majoriti penduduknya Islam, mengapa tidak Malaysia yang didiami masyarakat majmuk.

Lihat Komen
ADS