Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan habeas corpus Khairuddin didengar 13 Okt
Diterbitkan:  Oct 2, 2015 6:39 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Oktober untuk mendengar permohonan habeas corpus bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya.

Peguam Hanif Kathri Abdulla yang mewakili Khairuddin, 53, memohon mahkamah mempercepat pendengaran permohonan itu atas alasan tempoh tahanan Khairuddin akan berakhir pada 21 Oktober ini.

Katanya, Khairuddin ditahan di bawah Sosma selama 28 hari dan permohonan habeas corpus itu akan menjadi akedemik jika ia didengar selepas tamat tempoh penahanannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Hanafiah Zakaria berkata pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk menjawab afidavit Khairuddin.

Mohd Hanafiah berkata afidavit itu turut memerlukan pengesahan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bagi menjawab kenyataan Khairuddin mengenai 1MDB yang dibangkitkan dalam afidavitnya.

"Pihak kami dimaklumkan pegawai Bank Negara bahawa Tan Sri Zeti berada di luar negara kerana menghadiri mesyuarat di Bank Dunia dan mereka tidak pasti tarikh sebenar beliau pulang.

"Jadi, kami perlu masa sebulan untuk Tan Sri Zeti mengesahkan afidavit balasan itu," katanya.

Kamardin berkata sekiranya Zeti tidak boleh mengesahkan afidavit itu, timbalan gabenor Bank Negara boleh berbuat demikian.

Oleh itu, beliau menetapkan 13 Oktober untuk mendengar permohonan itu.

Pada 28 September lepas, Khairuddin memfailkan permohonan itu dengan menamakan Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Khairuddin memohon perintah mahkamah bahawa penahanannya mengikut Seksyen 4(5) Sosma 2012 bertarikh 24 September lepas yang dikeluarkan responden pertama (Habibi) dan dilaksanakan oleh responden kedua (Ketua Polis Daerah Dang Wangi) di Ibu Pejabat Polis Daerah, Dang Wangi, Kuala Lumpur adalah tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon satu writ habeas corpus dikeluarkan mahkamah supaya dibebaskan serta-merta daripada tahanan, selain memohon relif-relif lain yang dianggap adil dan sesuai oleh mahkamah.

Beliau turut mengemukakan permohonan itu atas alasan penahanannya tidak mematuhi peruntukan undang-undang Sosma 2012, berniat jahat dan berbentuk mala fide serta difikirkan kemudian oleh responden.

Khairuddin, yang juga suami pelakon Umie Aida, mendakwa penahanannya merupakan penyalahgunaan proses undang-undang dalam menggunakan Sosma 2012 secara salah sedangkan tindak-tanduknya tidak langsung berunsur aktiviti pengganas.

Pada 23 September lepas, Khairuddin ditahan semula mengikut Sosma 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta selepas tamat tempoh tahanan reman bagi kes Seksyen 124C Kanun Keseksaan.

Beliau ditahan reman sejak 19 September mengikut Seksyen 124C bagi membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS