Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rahim mengaku tak salah hasut Raja Muda Selangor murtad
Diterbitkan:  Oct 5, 2015 12:26 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut yang mendakwa Raja Muda Selangor telah murtad.

Abdul Rahim dituduh bawah Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Beliau juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya Abdul Rahim dibebaskan dengan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Abdul Rahim bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kepada RM2,000.

Hakim Slamat Yahya membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes.

Selain Mohd Dusuki, pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala pembelaan turut dibarisi peguam Wan Azmir Wan Majid serta Ahmad Al-Hady Abdul Razak.

Abdul Rahim sebelum ini dilapor memuat naik status di laman sosial miliknya mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah telah murtad.

Pada 30 September lalu, Dewan Diraja Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menukar agama.

Namun, sehari sebelum itu, (29 September) Abdul Rahim dilaporkan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka kepada Tengku Amir Shah menerusi laman Facebook dan Twitter miliknya.

Lihat Komen
ADS