Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Petronas raih satu bilion euro dari pelaburan di Itali

Petronas Lubricants International (PLI), anak syarikat milik penuh Petronas, meraih hasil sebanyak satu bilion euro daripada pelaburannya di Itali, mencerminkan kejayaan berterusan syarikat minyak nasional itu sebagai pelabur global dalam pasaran antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata PLI, yang mempunyai dua kilang di Itali dan kakitangan seramai 700 orang menguasai kira-kira 23 peratus bahagian pasaran di negara itu.

"Salah satu strategi yang diambil oleh Petronas adalah untuk mengaitkan minyak pelincirnya dengan Kereta kebanggaan Itali, iaitu Fiat.

"Apa jua kejayaan yang dicapai oleh PLI ada kaitan dengan penerimaan Petronas di Itali," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia, di Milan, Ahad, selepas mengakhiri lawatan kerja tiga harinya ke Milan sejak Jumaat lepas bagi menghadiri Expo Milano 2015.

Najib, yang berlepas pulang pada tengah hari Ahad, telah dijemput oleh Perdana Menteri Itali Matteo Renzi tahun lepas untuk menghadiri expo terbesar dunia yang diadakan lima tahun sekali itu.

Expo tersebut yang bermula 1 Mei lepas akan berakhir pada 30 Okt ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata Petronas berjaya menaikkan imej antarabangsa Malaysia.

Menurutnya, selain perbadanan multinasional dan syarikat besar, perusahaan kecil dan sederhana juga perlu membantu meningkatkan usaha memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dalam usaha menarik pelabur Itali.

Daripada mesyuarat meja bulatnya dengan 12 ketua industri Itali dan dua ketua industri Switzerland pada Sabtu, Perdana Menteri berkata antara cadangan yang dikemukakan mereka adalah usahawan Malaysia perlu terlibat dengan lebih agresif bersama komuniti perniagaan Itali dan Switzerland.

"Ini selain keperluan untuk meningkatkan usaha memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terbaik di Itali," katanya.

Najib berkata mereka juga mencadangkan Malaysia berusaha lebih agresif dalam menangani kempen anti minyak sawit di Eropah.

Beliau berkata ahli perniagaan berkongsi pengalaman positif mereka semasa menjalankan perniagaan di Malaysia dan menghargai hubungan baik dengan kerajaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS