Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembenihan awan, Mosti nafi guna bahan kimia
Diterbitkan:  Oct 5, 2015 2:56 PM
Dikemaskini: 1:12 PM

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini menafikan pihaknya menggunakan bahan kimia berbahaya dalam pembenihan awan seperti yang tersebar dalam laman sosial.

Menteri berkenaan Datuk Madius Tangau berkata bahan yang digunakan adalah natrium klorida iaitu garam masakan biasa.

"Garam ini selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan manusia atau alam sekitar," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya bahan dan kuantiti garam yang digunakan adalah sama setiap operasi pembenihan awan dijalankan dan tiada tambahan bahan kimia lain digunakan seperti yang disebarkan dalam laman sosial.

"Dalam sesuatu operasi pembenihan awan, sebanyak 200 kilogram garam akan dilarutkan ke dalam 1,500 liter air dalam tangki berisi padu 1,800 liter sebelum disembur ke dalam awan," katanya.

Mesej berbahasa Inggeris itu yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp tertera: "Friends from TUDM (RMAF) just called to alert that they are using strong chemical to make rain. This might affect the skin. So please stay away from the rain these few days and if (one comes) in contact, rinse promptly."

("Rakan daripada TUDM baru menghubungi untuk memaklumkan mereka menggunakan bahan kimia yang kuat untuk menghasilkan hujan. Ia mungkin memberi kesan kepada kulit. Jadi, tolong elakkan hujan beberapa hari ini dan jika terkena, bilas dengan segera.")

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail hari ini meminta orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat palsu itu dan menyebarkannya, sekali gus menimbulkan kekeliruan kepada orang awam mengenai pembenihan awan.

Hujan asid hanya berlaku apabila bahan 'pencemar' yang terkandung dalam jerebu bertindak balas secara kimia dengan air hujan, katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkara itu.

Menurutnya satu pembenihan awan dilakukan pada jam 2.30 petang tadi yang memberi tumpuan kepada kawasan Lembah Klang.

"Pembenihan awan dilakukan dengan mengambil kira faktor keadaan awan, atmosfera yang sesuai dan stabil serta udara lembap pada masa ini di kawasan itu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS