Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPIM ragu pengendalian TPPA oleh k'jaan
Diterbitkan:  Oct 6, 2015 10:00 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Sekumpulan pelajar telah menyatakan keraguan mereka terhadap keupayaan kerajaan untuk mengendalikan kesepakatan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dicapai semalam.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) ​​berkata, ia tidak berpuas hati dengan "skrip jawapan" yang diberikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai TPPA.

"Mana mungkin kami boleh berasa yakin dengan kebolehan negara menangani TPPA, sedangkan skandal besar politik dan ekonomi negara yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara pun kerajaan tak mampu mengendalikannya," kata Presiden PKPIM, Mohammad Fazril Mohd Saleh.

"Inikan pula isu yang mungkin berbangkit dengan pihak pelabur luar dengan peruntukan perundangan ISDS dalam TPPA ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapa berkata semalam bahawa kebimbangan dan sentimen Malaysia akan dipertimbangkan dalam TPPA.

"Cukuplah kami dijanjikan oleh para menteri tentang kebaikan GST dan ia akan beri kesan baik kepada rakyat," katanya sambil menambah bahawa kerajaan sendiri gagal mengawal kesan kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST.

Tegasnya, sekiranya ia tidak dapat mengawal GST, bagaimana kerajaan boleh berharap untuk mengawal harga barang-barang selepas TPPA.

"Kami meragui TPPA seluruhnya. Memang kami ragu-ragu dengan kerajaan. Jangan gadai masa depan kami," katanya.

Menurutnya, PKPIM bersama dengan pertubuhan pelajar dan mahasiswa akan terus mendesak kerajaan dalam isu ini, walaupun kesepakatan sudah dicapai oleh kesemua perunding terbabit.

Rundingan TPPA bermula pada tahun 2010 dan telah mencapai kesepakatan di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam.

Dikatakan bahawa TPPA akan mengurangkan halangan perdagangan dan menetapkan standard yang sama untuk 12 negara itu.

Lihat Komen
ADS