Paling Popular
Terkini

TRAVELOG Lontar kenangan. Dengan jeans lusuh dan kasut jenama Power dan beg berharga RM10, saya mengembara ke dunia mat saleh untuk kali pertama.

Kali pertama tengok gambar di atas, anda jangan ingat saya dilahirkan gemuk. Ini kira OK-lah, kalau dapat macam ini boleh dikira steady. Saya gembira kerana tidak perlu bersusah-susah memakai stokin.

Salah satu kenangan yang membuatkan saya berasa seperti ingin menitiskan air mata ialah semasa si miskin ini cuba mengukur jauhnya London dan Paris dengan bas.

Semasa merentasi Selat Inggeris dari Dover ke Calais, perut berkeroncong dan saya mula mencari apa yang boleh dimakan.

Akhirnya kentang goreng berharga £1 juga dibeli untuk alas perut. Dalam hati terdetik: "Ini gila. Fries macam ini harganya sudah RM7”.

Itu adalah kadar pertukaran pada tahun 2005. Jangan haraplah untuk membeli air di mesin jualan atau di restoran atas kapal. Memang teguk air paip jugalah. Nasib baiklah air paip di Eropah dikatakan bersih tanpa e-coli dan boleh diminum mentah-mentah.

Kita tidak perlu kaya untuk jadi bijak dalam mengembara. Pengalaman saya yang tidak membawa bekalan mi segera dengan cukup mengajar untuk hidup di atas bumi orang.

Siapa ingat saya lahir terus jadi kaya, dan hari pertama berniaga terus jadi jutawan? Banyak kisah pahit manis yang orang tidak minat dengar.

Apapun, salah satu impian saya adalah untuk membawa orang menjelajah dunia dari perspektif yang saya sukai. Saya sangat suka mengembara tanpa membeli-belah.

Kalau sekadar untuk membeli-belah, saya boleh ajar bagaimana untuk mendapatkan beg tangan asli jenama Prada dengan harga lebih rendah, hampir separuh daripada harga di KL.

Bukan susah sangat pun, tak perlu pergi mengembara untuk bawa pulang satu satu kontena yang sarat dengan barangan.

Bila berjalan berlenggang sebegini tanpa beg membeli-belah, saya bebas untuk menerokai dan menelusuri pelbagai kelainan budaya, idea dan masyarakat.

Di sepanjang pengembaraan, saya tidak akan melepaskan peluang melihat sekolah orang tempatan. Kadang-kadang, semangat ingin tahu ini menimbulkan rasa hairan tuan rumah.

Tuan rumah akan bertanya: “Saiful Nang hendak ke mana? Stonehenge? Bath? Old Trafford? Anfield?”

Saya hanya menjawab: "Mana sekolah terdekat?"

Sebab tu agaknya hari ini saya menjadi guru besar di Sekolah Rendah Integrasi Islam dan Sekolah Menengah Integrasi Islam Akademi Insan Prihatin.

Tapi maaflah, jangan mohon untuk masuk ke sekolah ini kecuali anak-anak yatim dan asnaf. Anak yatim masuk percuma sahaja ke sekolah ini dan kami didik macam anak kami sendiri.

Mungkin dahulu pada awal umur, saya menjadi mangsa sistem pendidikan pukul rata yang hanya menilai manusia menerusi bilangan “A” dalam peperiksaan.

Walaupun masa SPM saya dapat banyak “A” tetapi saya terasa menyesal menyeksa diri mempelajari banyak perkara yang tidak saya gunakan dewasa ini. Bukankah sekolah itu akan jadi indah jika pendidikannya lebih realistik?

Di Universiti mana? MRSM mana? Sekolah Sains mana? Cendekiawan Islam, tokoh ilmuwan Islam dan para nabi juga sahabat belajar di mana?

Mengapakah sekolahnya tiada bangku dan tiada dinding tapi mampu mengangkat Islam menjadi kuasa besar dunia?

Hari ini setelah lebih 700 tahun dari kemuncak Islam Abassiyyah kita menggunapakai sistem pendidikan apa yang telah diacu oleh orang putih untuk kita telan dan guna sahaja tanpa banyak bicara.

Tapi kita masih juga belum menjadi lebih bijak dari mereka? Mengapa?

Saya berharap akan dapat menyampaikan kepada perdana menteri – biarlah pendidikan mengikut acuan bangsa dan agama kita.

Pendidikan bukan wadah untuk dijadikan lubuk oleh orang berkepentingan bagi meraih gelaran atau pingat.

 


 

SAIFUL NANG seorang guru, penulis buku, usahawan dan jurugambar profesional. Beliau mengalu-alukan anak muda lain menyertai pengembaraan bersamanya.

Lihat Komen
ADS