Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Israel tembak mati remaja 13 tahun Palestin
Diterbitkan:  Oct 6, 2015 11:51 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 13 tahun semasa pertempuran di kem pelarian berhampiran Baitul Laham, kata pihak polis dan perkhidmatan kecemasan.

Menurut laporan Al Jazeera dan AFP , sumber memberitahu bahawa pihak Israel menghalang rakyat Palestin daripada memasuki Bandar Lama Abdel Rahman Abdullah dengan tembakan mengejut di kem pelarian Aida pada Isnin.

Remaja 13 tahun itu merupakan remaja kedua Palestin yang mati dibunuh oleh tentera Israel dalam masa 24 jam ketika pertempuran mula merebak di seluruh wilayah.

Pada malam Ahad, Hutheifa Suleiman, remaja Palestin 19 tahun, telah ditembak tentera Israel semasa pertempuran di Tebing Barat.

Pengarah Pertahanan Kanak-kanak Antarabangsa Palestin, Ayed Abu Qtaish memberitahu Aljazeera, Israel membunuh kanak-kanak Palestin terlebih dahulu dan bertindak dengan sewenang-wenangnya kerana diberi "lampu hijau" oleh "senior" mereka.

"Mereka (tentera Israel) mahu menyekat apa-apa sahaja tindakan oleh rakyat Palestin yang menentang dasar Israel terutamanya untuk mengembangkan lagi penempatan dan juga pembinaan tembok.

"Sebarang bantahan oleh rakyat Palestin akan dilayan dengan cara yang kasar... dasar-dasar terbaru Israel sekarang ialah bagaimana untuk menangani orang yang membuat bantahan dengan memberi lampu hijau kepada tentera Israel untuk membunuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak," kata Qtaish.

Tangkapan Tebing Barat

Selain itu, pertempuran juga kini telah merebak selepas dua serangan baru-baru ini yang membunuh empat rakyat Israel dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun.

Tentera Israel memberitahu, mereka menangkap lima anggota Hamas yang didakwa menjalankan pembunuhan terhadap beberapa orang Yahudi di hadapan anak-anak mereka pada minggu lalu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pihak polis, tentera dan pasukan keselalamatan dalaman Israel (Shin Bet), penyerang yang disyaki itu serta beberapa orang rakannya didakwa melakukan jenayah dan ditahan sehari selepas Tebing Barat diserang.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula telah berikrar "berjuang sampai mati untuk menentang keganasan oleh rakyat Palestin" dan mengumumkan langkah-langkah keselamatan yang baru.

Kini, pemuda Palestin yang membaling batu berdepan dengan tentera Israel yang menggunakan peluru, tidak kira peluru hidup atau peluru getah.

Penduduk Yahudi juga bertempur dengan rakyat Palestin.

Terdapat kebimbangan bahawa keganasan ini akan berlaku di luar kawalan. Ia juga berdepan risiko dan amaran berlakunya intifada kali ketiga rakyat Palestin.

Lihat Komen
ADS