Anggota parlimen Seremban Anthony Loke mendakwa menjadi mangsa fitnah dengan dituduh memekik perkataan “celaka Melayu” semasa ditahan polis semalam.
“Saya ingin menegaskan saya tak pernah cakap perkataan itu,” katanya.
Sebaliknya, katanya, beliau hanya mencelakakan pemilik tanah yang mengusir penduduk Kampung Ulu Temiang, Seremban, tidak kira bangsa, termasuk Melayu.
“Saya mempertahankan hak setiap rakyat tanpa mengira kaum,” katanya.
Loke, anggota Dewan Undangan Negeri (Temiah) Ng Chin Tsai dan 13 lagi individu ditahan polis semalam kerana membantah pengusiran Kampung Ulu Temiang.
Kesemua mereka ditahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis.
Loke terlibat menuntut pampasan lebih tinggi kepada penduduk yang telah menduduki tanah itu selama 40 tahun.
Penduduk kampung berkenaan, menurutnya, diberi notis arahan pindah dalam tempoh 14 hari yang berakhir 25 Ogos lalu.
Penduduk tiada tempat bermalam
Loke dibebaskan daripada tahanan di ibu pejabat polis daerah Seremban pada jam 8 malam tadi, selepas 12 jam.
Beliau menulis di Facebook memberitahu terus bergegas ke Kampung Ulu Temiang bagi menemui keluarga penduduk terjejas.
“Terdapat keluarga yang benar-benar tiada alternatif untuk menginap malam ini.
“Kami sedang uruskan supaya mereka dapat ditempatkan di hotel murah beberapa hari sebagai langkah jangka pendek.
“Kami cuba yang terbaik untuk membantu mangsa perobohan tidak berperi kemanusiaan Kampung Ulu Temiang!” tulisnya lagi.
Was released from IPD Seremban at 8 pm after a 12-hour detention. Went straight to Kg Ulu Temiang to meet up with the...
Posted by Anthony Loke Siew Fook on Tuesday, 6 October 2015