Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Madrasah boleh guna peruntukan k'jaan pusat bina semula bangunan
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 2:59 PM
Dikemaskini: 7:02 AM

Pentadbiran Madrasah Ad Diniah Al Yusofiah di Pasir Mas boleh menggunakan peruntukan RM252,000 sumbangan kerajaan Persekutuan untuk membina semula bangunan baharu menggantikan 48 pondok yang musnah dalam kebakaran, Isnin lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis graduasi kali pertama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selising di Pasir Puteh malam tadi.

Dalam kebakaran itu, sebanyak 48 pondok madrasah, antara yang terbesar di negara ini, musnah menyebabkan 60 pelajarnya tinggal sehelai sepinggang.

Asyraf Wajdi berkata dengan peruntukan itu, pihak madrasah boleh membina semula bangunan baharu yang lebih selesa untuk pelajarnya di samping menitik beratkan ciri keselamatan termasuk pendawaian elektrik.

Sementara itu, ketika berucap di majlis berkenaan, beliau berkata Tabung Haji (TH) akan terus mengeluarkan subsidi bagi kos mengerjakan ibadat haji kepada setiap bakal haji tahun depan walaupun ekonomi dunia tidak menentu.

Beliau berkata rancangan itu selaras dengan penubuhan asal TH untuk membantu bakal haji bagi meringankan beban mereka hasil keuntungan pelaburan TH dari dalam dan luar negara.

Asyraf Wajdi berkata umat Islam di negara ini bernasib baik kerana menanggung kos menunaikan haji yang lebih rendah disebabkan mempunyai sebuah kerajaan yang sangat prihatin dengan tuntutan Islam.

"Ia sangat berbeza dengan umat Islam di negara jiran, mereka terpaksa menangung kos sebanyak RM20,000 seorang jika mahu menunaikan haji berbanding tidak sampai RM10,000 seorang yang perlu ditanggung oleh umat Islam di negara ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS