Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ku Li: Undi tak percaya pada k'jaan tak akan berjaya

Walaupun ada pihak mengatakan bahawa usul undi tidak percaya perlu dibuat pada sidang Parlimen akan datang, namun Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat tindakan itu tidak akan berjaya.

Katanya, walaupun ahli parlimen boleh membawa usul tersebut terhadap kerajaan yang memerintah, tetapi Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa menolak sebarang usul yang tidak disebut dalam Perintah Tetap Parlimen.

Sehubungan itu, bekas menteri kewangan itu berkata usaha untuk membawa usul undi tidak percaya tidak akan berjaya kerana ia akan ditolak oleh speaker Dewan Rakyat.

"Kita ada hak kita untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan yang memerintah.

"Tetapi kita juga diberitahu bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat berhak menolak apa jua usul kerana ia tidak disebut dalam Perintah Tetap yang dipakai dalam Dewan Rakyat.

"Jika awal-awal lagi sebarang usaha untuk kemukakan usul tidak diluluskan speaker jadi... Tetapi ada cara lain yang boleh dibuat," katanya dalam sidang media.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Ong Tee Keat di Putrajaya.

Ditanya cara lain yang boleh dibuat untuk menggesa Datuk Seri Najib Abdul Razak meletakkan jawatan, beliau berkata:

"Itu kita akan cakap di forum yang lain," katanya tersenyum.

Tengku Razaleigh menjawab soalan pemberita mengenai apakah tindakan yang boleh dilakukan oleh ahli parlimen mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dilihat tak matang

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan dalam sidang media hari ini, Tengku Razaleigh berkata, kehadirannya untuk melahirkan rasa tidak setuju berhubung penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, sebagai sebuah negara membangun, akta tersebut sepatutnya tidak disalah guna. seperti dipersetujui di parlimen sebelum ini.

"Kita dah lalui ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan sekarang kita bercakap tentang nak menjadi negara membangun.

"Tetapi kita dilihat tidak matang dan kembali semula ke perundangan negara ketiga yang mana anda boleh menahan rakyat tanpa diwakili dan saya rasa ini salah.

"Saya di sini juga kerana Tun telah menjemput saya untuk menyertai gabungan ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS