Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Peratusan kenaikan tol melampau
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 9:23 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Kerajaan telah mengumumkan kenaikan harga tol di tahun rakyat masih bergelut menyesuaikan hidup akibat inflasi yang dicetuskan oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan penarikan subsidi, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Katanya, peratusan kenaikan tol kali ini agak melampau yang menurutnya ada lebuhraya yang menyaksikan kenaikan setinggi 80 peratus seperti SILK, 67 peratus (Akleh), 54 peratus (Besraya), 50 peratus (LKSA) dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17 hingga 44 peratus.

"Terhadap rakyat, kerajaan berani melaksanakan GST, memansuhkan subsidi dan memekakkan telinga terhadap kos sara hidup yang semakin naik.

"Mengapa kerajaan tidak menggunakan keberanian yang sama untuk menyemak kembali semua perjanjian konsesi serta cadangan kenaikan tarif tol sedangkan keuntungan syarikat konsesi tol terus melipatganda?" soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kini, katanya, dengan kebanyakan lebuhraya menjadi lebuhraya menggunakan sistem kutipan tol berelektronik, maka beban rakyat meningkat kerana terpaksa menanggung kos kad TouchNGo dan juga SmartTag.

"Dengan kenaikan kadar tol, apa pula faedah yang diberikan kembali kepada rakyat sebagai pelanggan lebuhraya?

"Tidak. Malah beban bertambah kepada pengguna lebuhraya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal. Bayangkan ratusan ribu diperolehi melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperolehi sebarang manfaat dari sistem tersebut," katanya.

Oleh itu, tambahnya, PAS mencadangkan syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pelanggan yang terpaksa buat pembayaran awal melalui sistem pembayaran SmartTag dan TouchNGo.

"Sebenarnya syarikat konsesi tol dan kerajaan tiada sebarang alasan ekonomi yang kukuh untuk menaikkan kadar tol. Apakah ada syarikat konsesi tol yang sedang mengalami kerugian meskipun perniagaan ini mempunyai risiko kerugian menghampiri sifar? Tidak.

"Yang lebih menyedihkan ialah fakta bahawa sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan ‘advantage’ sebegini, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat," tegasnya.

Sementara itu, MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pula mempersoal janji kerajaan yang mahu mengurangkan tol antara bandar menjelang pilihan raya umum ke-13 dan hasrat mereka untuk berunding semula perjanjian dengan syarikat konsesi.

"Kenapa dibiarkan perjanjian yang bersifat pro syarikat dan tidak pro pengguna? Apakah jika tidak dinaikkan tol dan tidak dibayar pampasan, syarikat konsesi akan bankrap?" soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut membidas kerajaan yang memberi alasan kenaikan itu untuk pembangunan seperti membina sekolah dan hospital, yang menyamai alasan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan seperti yang diumumkan perdana menteri.

"Jadi Kerajaan hanya mampu bina sekolah dan hospital dengan menaikan tol dan kenakan cukai GST ke atas rakyat.

"Kerajaan begitu lemah dalam mencari sumber pendapatan bagi membangunkan negara tanpa membebankan rakyat.

"Berhentilah membohongi dan menindas rakyat," katanya yang juga yang dipertua PAS Pokok Sena.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam beserta peruntukan khas bayaran tol bagi kakitangan awam di Lembah Klang bagi meringankan beban golongan pekerja dalam Bajet tahun ini.

Manakala Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil pula berkata kenaikan tol itu mengejutkan banyak pihak dan membuktikan kerajaan Umno-BN tidak sensitif terhadap realiti yang dihadapi rakyat biasa mutakhir kini.

"Umum cukup terkejut dengan keputusan kerajaan ini, lebih-lebih lagi di kala suasana ekonomi yang muram, nilai mata wang ringgit yang lemah, pelbagai isu dan skandal kewangan yang membelenggu negara serta hutang negara yang menggunung.

"Malah peningkatan kadar tol ini sudah pasti akan menyebabkan harga barang meningkat, yang akan terus membebankan rakyat," katanya yang menggesa kerajaan menghentikan rancangan kenaikan tol Khamis ini.

Jika tidak, katanya, pentadbiran Najib perlu bersedia untuk berhadapan sentimen rakyat yang sudah pasti semakin marah dan semakin bersedia untuk melakukan perubahan.

Lihat Komen
ADS