Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Buka ruang kerjasama bersyarat dengan pasukan Mahathir'
Diterbitkan:  Oct 13, 2015 9:50 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendirian bahawa Pakatan Harapan perlu segera membuat kerjasama bersyarat dengan pasukan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Agar gelombang yang telah disemarak oleh Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhubung siasatan terhadap 1MDB, mampu digarap semaksimum mungkin bagi mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan politik," kata Ketuanya, Sany Hamzan.

"Terma-terma kerjasama ini haruslah dalam ruang lingkup untuk menyelamatkan negara dengan syarat yang kuat untuk Tun Mahathir tidak akan mengulangi kezaliman politik yang telah beliau legasikan sepanjang 22 tahun memerintah negara sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemuda AMANAH, katanya, memandang usaha veteran-veteran Umno yang diketuai Dr Mahathir merupakan 'signal nazak' terhadap keadaan negara yang sedang memasuki fasa tenat dan semakin memburuk.

"Lebih menarik apabila Tun Mahathir sanggup mengetepikan sengketa lama beliau dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk tampil bersama memberikan tekanan kepada pentadbiran perdana menteri ketika ini," tegas Sany.

Pemuda AMANAH, katanya, percaya bahawa politik matang dan merentas emosi itu, mampu dimanfaatkan untuk tidak terus membiarkan rakyat menderita.

"Perbincangan ke arah itu sudah seharusnya bermula memandangkan rakyat tidak mampu menanggung kesusahan demi kesusahan bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Walau mungkin sukar, kita juga percaya bahawa melalui medium konsultasi, tiada masalah atau konflik yang tidak mampu dirungkai," tambahnya.

Lihat Komen
ADS