Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS Selangor tolak kerjasama dengan PERKASA
Diterbitkan:  Oct 14, 2015 12:10 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

PAS Selangor hari ini menegaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama dengan kumpulan pendesak Melayu PERKASA meskipun presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam dirakamkan berpelukan dengan Datuk Ibrahim Ali.

“Ingin ditegaskan di sini bahawa PAS Selangor tidak bersetuju dengan sebarang kerjasama dengan PERKASA.

“Walaupun PAS Selangor bersedia mewujudkan kerjasama untuk menentang BN dengan mereka yang menghormati prinsip-prinsip dan dasar perjuangan PAS tetapi kami menolak sama sekali mana-mana pihak yang membawa sentimen perkauman,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar A Samad dalam kenyataan medianya yang dimuat-naikkan di Facebook.

Menurut Iskandar yang juga adalah naib presiden PAS, beliau telah menerima penjelasan daripada PAS pusat bahawa parti itu hanya menerima kunjung hormat daripada PERKASA yang melawat ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, semalam.

“PAS Pusat hanya menerima kunjung hormat daripada PERKASA.

“Mereka telah membincangkan tiga perkara iaitu 1MDB, Sosma dan TPPA. Tidak ada persetujuan untuk mewujudkan sebarang kerjasama seperti yang dilaporkan oleh media,” katanya.

Ini di sebalik kenyataan rasmi PAS di laman Facebook semalam yang mengumumkan parti itu dan PERKASA bersetuju bekerjasama dalam isu 1MDB, Sosma dan TPPA.

Bagaimanapun kenyataan itu kemudiaan disunting dengan perkataan ‘kerjasama’ ditukar kepada ‘bersetuju’ terhadap tiga isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS