Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Guna derma RM2.6b Najib tampung kenaikan tol’

Parti AMANAH mahu kerajaan ‘mengambil’sedikit wang derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menampung bebanan yang ditanggung rakyat berikutan kenaikan kadar tol sebanyak 200 peratus di 18 lebuhraya hari ini.

"RM2.6 bilion boleh bayar tol. Kalau kenaikan hari ini kerajaan kena bayar RM510 juta.

“RM2.6 bilion itu cukup untuk bayar kepada kepada konsesi lebuhraya," kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil kepada pemberita selepas penyampaian morandum memohon Yang di-Pertuan Agong menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan salah guna dana MDB.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar hari ini dilaporkan sebagai berkata kerajaan perlu membayar RM510 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya sekiranya tidak menaikkan kadar tol.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata lebuh raya yang terbabit dengan kenaikan tol itu adalah laluan pengguna setiap hari untuk pergi dan pulang dari bekerja dan kenaikan tersebut sememangnya menyukarkan kehidupan rakyat.

"Saya percaya kutipan tol ini amat tinggi dan tiada keperluan untuk kenaikan dibuat walaupun ada perjanjian dimeterai antara kerajaan dengan syarikat konsesi," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan tersebut.

"Segala perjanjian dengan konsesi lebuh raya dikaji semula demi kebajikan dan kepentingan rakyat," katanya.

Bermula hari ini, 18 syarikat konsesi lebuh raya utama di Lembah Klang menaikkan kadar tol antara 10 sen dan RM6.

Ia melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-Silk, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart).

Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga).

Lihat Komen
ADS