Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zam perjelas lawatan, pelukan Zahid Hamidi
Diterbitkan:  Oct 16, 2015 2:42 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

Tan Sri Zainuddin Maiddin pengkritik keras pentadbiran perdana menteri.

Datuk Ahmad Zahid Hamidi pula orang kuat Datuk Seri Najib Razak dan dipilih sebagai timbalan perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disingkir.

Justeru, apabila dua individu ini bertemu dan gambar mereka dirakam mesra, termasuk berpelukan, ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Zainuddin, bekas menteri penerangan dan ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu mengakui dihujani persoalan berkaitan perkara itu.

“Tentunya pertanyaan ini timbul kerana saya dianggap sebagai kritikal terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib, menteri-menteri dan mempertikaikan teguran Zahid kepada pemimpin parti terhadap 1MDB sebagai menimbulkan kontroversi, sebaliknya bagi saya kerana sayangkan parti,” kata Zainuddin.

Menjelaskan perkara itu, Zainuddin berkata Zahid telah lama menyatakan hasrat berkunjung ke rumahnya kerana menganggap wartawan veteran itu tetap bosnya.

Zahid pernah menjadi timbalan menteri ketika Zainuddin menjadi menteri penerangan. Zainuddin menjawat jawatan itu selama tiga tahun pada 2006 hingga 2008 ketika era perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Kalau dulu seseorang itu guru saya maka hingga hari ini dia tetap guru saya, kalau dulu dia penghulu saya maka hari ini pun dia tetap penghulu dan dulu Tan Sri (Zainuddin) bos saya maka hari ini tetap bos saya,” demikian kata Zahid seperti dipetik Zainuddin.

Perjalanan politik yang kritikal

Zainuddin bagaimanapun berseloroh lawatan itu tidak beerti Zahid, yang juga menteri dalam negeri, tidak akan menangkapnya.

“Bagaimanapun dengan kunjungan Zahid ke rumah saya, tidak semestinya bererti Zahid tidak akan menangkap saya atau Zahid juga tidak akan ditangkap (ha ha ha) seperti apa yang berlaku pada Tan Sri Samad Ismail, Abdullah Majid dan juga Abdullah Ahmad (Dolah Kok Lanas) orang dalam Tun Abdul Razak yang ditahan bawah ISA sebaik sahaja Hussein Onn menjadi PM atas hasutan dari Singapura,” katanya.

Mengulas perwatakan politik Zahid, Zainuddib berkata Zahid bukan sahaja seorang pemain politik yang cekap tetapi juga nasionalis dan mempunyai pendidikan tinggi dalam agama.

Justeru, beliau percaya “naluri keagamaan” itu tetap memandunya dalam apa juga tindakannya.

Zainuddin juga membandingkan perkara sama dengan Muhyiddin, pendahulu Zahid, yang menurutnya walaupun tidak mempunyai pendidikan agama setinggi Zahid tetapi latar belakang keluarganya orang agama.

Zainuddin berkata beliau dan keluarga berbesar hati atas kunjungan itu selain mendoakan keselamatan dan kejayaan cemerlang bagi “perjalanan politiknya yang kritikal”.

Sementara itu, Zahid berkongsi gambar beliau berpelukan dan beramah mesra dengan Zainuddin di Facebook sambil diperhatikan pengiring.

Isteri Zainuddin turut sama menyambut kehadiran orang nombor dua dalam negara itu, seperti dirakamkan lensa kamera.

Menziarahi Tan Sri Zainuddin Maidin di kediaman beliau. #AZH

Posted by Zahid Hamidi on Thursday, 15 October 2015

Lihat Komen
ADS