Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri nafi ada arahan jangan hadir kenduri Shafie

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak menafikan dakwaan ketidakhadirannya dalam majlis kenduri anak lelaki Datuk Seri Mohd Shafie Apdal disebabkan arahan pihak tertentu.

Salleh berkata, beliau tidak hadir ke majlis perkahwinan anak naib presiden Umno itu kerana berada di Labuan atas urusan rasmi.

"Tak betul (ada arahan). Saya di Pulau Labuan atas urusan rasmi semalam dan hari ini," katanya kepada Malaysiakini .

Semalam berlangsungnya majlis perkahwinan anak Mohd Shafie, Mohd Shazwi dengan Siti Aimira Suhaidi di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ketidakhadirannya beberapa pemimpin, terutamanya dari Sabah - negeri Shafie sendiri - menimbulkan spekulasi pelbagai pihak mula menjarakkan diri daripada bekas menteri yang digugurkan itu.

Menurut sumber, sesetengah menteri atau timbalan menteri, memberikan jawapan bahawa mereka tidak dapat hadir, manakala sesetengahnya pula tidak memberikan sebarang pengesahan.

Namun apa yang lebih menarik, ada beberapa menteri yang sudah mengesahkan kehadiran pada peringkat awal, tiba-tiba membatalkannya di saat-saat akhir.

Ada program lain

Tanpa mahu membuat tuduhan, sumber memberitahu, kemungkinan ada arahan daripada mana-mana pihak supaya menteri terbabit jangan hadir ke majlis berkenaan.

Selain Salleh, pimpinan Umno Sabah seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan juga tidak hadir.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, timbalan presiden Umno dan bekas timbalan perdana menteri yang digugurkan bersama Shafie turut memeriahkan majlis.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan sudah memberi pengesahan - sebelum membatalkan kehadiran - juga menarikan wujud arahan supaya jangan menghadiri kenduri Mohd Shafie.

Ahli Parlimen Bera itu memberitahu, beliau tidak hadir ke majlis malam tadi kerana mempunyai program lain.

"Tak betul. Malam tadi saya ada program yang telah diatur terlebih dahulu," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS