Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keluar bateri rokok elektronik masa penerbangan
Diterbitkan:  Oct 27, 2015 8:13 AM
Dikemaskini: 12:16 AM

Berkuat kuasa serta-merta, penumpang yang membawa rokok elektronik perlu menanggalkan bateri daripada peranti rokok elektronik semasa dalam penerbangan, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini.

MAHB membuat pengumuman itu ekoran insiden rokok elektronik terbakar dalam penerbangan OD1003 Malindo Air semasa penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada 24 Oktober.

Menerusi catatannya dalam laman Facebook, MAHB berkata buat masa ini, peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) tidak membenarkan rokok elektronik didaftarkan sebagai bagasi tetapi membenarkannya dibawa dengan tangan oleh penumpang dalam pesawat.

“Susulan insiden terbaru, Malaysia Airports telah melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan berkuat kuasa serta merta dan penumpang akan diminta supaya menanggalkan bateri daripada peranti,” katanya.

MAHB juga merujuk perkara itu kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk nasihat lanjut.

Malindo Air mengesahkan insiden bateri rokok elektronik itu terbakar pada 6.02 petang semasa pesawat berada pada ketinggian 35,000 kaki dan di pertengahan laluan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, Malindo Air akan berbincang dengan pihak berkuasa lapangan terbang untuk mengkaji prosedur keselamatan dan melaksanakan strategi bagi mengelak insiden bateri rokok elektronik terbakar dalam pesawat semasa dalam penerbangan.

Malindo Air dalam kenyataan semalam mengesahkan bateri rokok elektronik dalam penerbangan OD1003 terbakar semasa dalam penerbangan dari Kota Kinabalu ke KLIA2 Sabtu lepas.

Menurut syarikat penerbangan itu berdasarkan laporan anak kapal, insiden itu berlaku pada 6.02 petang semasa pesawat berada pada ketinggian 35,000 kaki dan di pertengahan laluan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.

"Apabila dimaklumkan mengenai insiden itu, anak kapal kabin mengambil tindakan segera kerana mereka dilatih untuk menangani situasi sedemikian.

"Dalam masa beberapa minit, keadaan dapat dikawal dan pesawat meneruskan penerbangan serta mendarat dengan selamat di Kuala Lumpur pada 7.27 malam," kata kenyataan itu.

Anak kapal kabin dan seorang doktor dalam pesawat memberi rawatan kecemasan kepada penumpang yang cedera di tangannya, dan selepas pesawat mendarat, penumpang itu dibawa ke pusat perubatan klia2 untuk rawatan lanjut.

Syarikat penerbangan itu berkata polis KLIA2 dimaklumkan mengenai insiden itu sebelum pesawat mendarat dan bersama-sama kakitangan Keselamatan Penerbangan Malindo Air (AvSec), mereka menemu bual penumpang berkenaan sebelum laporan polis dibuat oleh Malindo Air.

Malindo Air turut mengingatkan para penumpangnya supaya tidak membawa bateri ganti dalam pesawat, tidak menyambung mana-mana peranti elektronik mudah alih dengan sumber kuasa semasa dalam penerbangan dan tidak meninggalkan sebarang peranti elektronik mudah alih tanpa penjagaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS