Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lebih daripada seratus orang awam dan aktivis hari ini berhimpun di luar pintu bangunan parlimen bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Mereka melaungkan slogan "jangan jual negara kita” serta mempamerkan kain rentang bantahan.

Peserta mula berkumpul di kawasan Tugu Negara pada pukul 10 pagi lalu berarak ke bangunan Parlimen pada pukul 10.30 pagi.

Namun, apabila mendekati jalan utama di luar bangunan Parlimen, mereka dihalang oleh polis untuk terus berarak ke pintu parlimen.

Walaupun berlaku tolak menolak antara polis dengan peserta, namun bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan berjaya mencapai persepakatan dengan polis setelah rundingan dilakukan.

Polis membenarkan peserta himpunan berkumpul di tepi jalan luar bangunan Parlimen dengan syarat tidak menghalang kereta yang memasuki Parlimen.

Perhimpunan anti-TPPA ini dianjurkan oleh PSM.

Tuntut masuk ke dalam Parlimen

Antara isu diketengah peserta termasuk kemampuan persaingan rakyat Malaysia berdepan negara kuasa besar selain kebimbangan kenaikan harga ubat.

Kira-kira 30 orang polis bertugas menyelia peserta di tepi dan mengawal kelancaran lalu lintang di jalan Parlimen.

Peserta himpunan turut menuntut masuk ke dalam parlimen untuk menghantar memorandum anti-TPPA kepada anggota parlimen.

Tidak lama kemudian, lapan orang ahli parlimen pembangkang keluar daripada parlimen dan menerima memorandum peserta.

Mereka berjanji akan membantah TPPA apabila dibincangkan di Dewan Rakyat.

BNBBC terima Memo

Pada pukul 11.45 pagi, polis membenarkan empat orang wakil peserta himpunan masuk ke dalam bangunan parlimen untuk menghantar memorandum.

Apabila wakil peserta tiba di luar Dewan Rakyat, Setiausaha kerja Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Omar Daud muncul menerima memorandum daripada mereka.

Omar berkata beliau mewakili Pengerusi BNBBC Tan Sri Shahrir Samad dan enggan memberikan komen lanjut.

Rundingan TPPA dimuktamadkan di Amerika Syarikat sebelum ini dan akan dibincangkan di parlimen sesi ini sebelum keputusan untuk menandatangani dibuat.

Najib setuju secara prinsip?

Sementara itu, memorandum itu turut menyatakan mereka terkejut dengan kenyataan perdana menteri berkaitan TPPA dalam pembentangan belanjawan 2016 Jumaat lepas.

"Kami amat terkejut apabila YAB perdana menteri memaklumkan dalam teks ucapan bajet 2016 bahawa Malaysia telah bersetuju secara prinsip kepada TPPA.

"Menteri MITI memaklumkan bahawa teks perjanjian ini akan dibentangkan di parlimen untuk didebat oleh ahli parlimen pada masa terdekat ini.

Selepas perdebatan, ia akan ditandatangani oleh kabinet dalam bulan Januari, 2016," memorandum itu dipetik.

Memorandum itu turut mempertikaikan kenapa perdana menteri 'menerima secara prinsip' sebelum menilai hujah debat parlimen dan mengkaji baik buruknya.

Lihat Komen
ADS