Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga emas Orang Asli meninggal, dipercayai akibat sungai tercemar
Diterbitkan:  Oct 29, 2015 11:00 AM
Dikemaskini: 3:12 AM

Seorang warga emas meninggal dunia selepas mengalami cirit-birit dan muntah Isnin lalu di perkampungan Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang, kata Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC).

Lapan yang lain sedang menerima rawatan bagi penyakit yang sama, di Kuala Krai dan Gua Musang Hospital, kata wakil COAC, Nasir Dollah berkata dalam satu kenyataan.

Doktor mengesahkan bahawa mereka mengalami keracunan, katanya.

Mereka adalah dari dari Kampung Angkek, Kampung Podek, Kampung Kelapa, Kampung Sentep di daerah Kuala Betis, Gua Musang, katanya.

Tidak semuanya telah dibawa ke hospital walaupun mengalami simptom yang sama kerana dikatakan stabil, katanya.

Nasir berkata, kebanyakan penduduk bergantung kepada Sungai Leget dan Sungai Betis untuk bekalan air kerana tidak mempunyai sumber air bersih walaupun rayuan berhubung isu air itu didakwa telah dibuat kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA).

Ini mungkin menjadi punca keracunan tersebut, katanya.

"Aktiviti pembalakan dan projek perladangan, yang begitu besar dipercayai menggunakan racun rumput, telah menyebabkan racun mengalir ke dalam sungai yang merupakan sumber minuman utama penduduk Orang Asli RPS Kuala Betis," katanya.

Aduan berulangkali kepada k'jaan

Penduduk kampung, katanya, telah berulang kali mengadu kepada pihak berkuasa negeri berhubung projek pembalakan dan perladangan.

Satu laporan polis juga telah dibuat mengenai perkara itu, katanya.

Masyarakat Orang Asli di Gua Musang menjadi tumpuan September lalu, selepas tujuh kanak-kanak sekolah rendah hilang dari asrama sekolah mereka.

Dua daripada mereka ditemui beberapa minggu selepas itu, manakala empat lagi dikebumikan awal minggu ini selepas ditemui mati di dalam hutan manakala seorang lagi masih belum ditemui.

Polis berkata, kanak-kanak berkenaan melarikan diri kerana takut dikena hukuman selepas mereka mandi di sungai tanpa kebenaran.

SK Tohoi merupakan sebuah sekolah terpencil, yang mengambil masa berjam-jam untuk sampai dengan menaiki 4WD dari Gua Musang melalui denai balak.

Kementerian Pelajaran telah mengarahkan kanak-kanak untuk dipindahkan ke asrama yang lebih dekat dengan sekolah. Baca berita penuh

Lihat Komen
ADS