Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kawasan mereka mungkin akan dirobek DAP dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi wakil-wakil rakyat PAS berkaitan tidak melihat perkara itu sebagai ancaman yang nyata.

Malah, ketika dihubungi, mereka yakin rakyat akan membuat pilihan bijak dalam pilihan raya umum akan datang, walaupun mungkin berdepan jalan sukar pertembungan tiga penjuru dengan BN.

“Semua parti ada hak bertanding. Masuk pilihan raya untuk bertanding, bukan bersanding.

“Mereka (DAP) yang mulakan. Jangan marah kalau lepas ini kita (PAS) bertanding di tempat mereka pula,” kata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru Dr Abd Rani Osman.

Meru antara kawasan yang berada dalam perkiraan DAP sekarang ini selain Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Cempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua ( gambar ) hari ini mengumumkan perkara itu atas kepercayaan mempunyai pengaruh ketara dan boleh menang, walaupun dalam pertembungan tiga penjuru.

Beliau bagaimanapun berkata keputusan lanjut akan diputuskan setelah perbincangan Pakatan Harapan Selangor, melibatkan DAP, PKR dan parti serpihan PAS Parti Amanah Nasional (AMANAH).

Sementara itu, mengulas keyakinan DAP di kawasan mereka, Rani ketika dihubungi Malaysiakini hanya mengibaratkannya dengan pertandingan bola sepak.

“Contohnya Selangor lawan Johor. Penyokong Selangor kata boleh menang 3-2, penyokong Johor kata boleh menang 1-0. Tunggulah masa permainan tamat baru tahu,” kata Rani.

Beliau bagaimanapun mengingatkan tentang kekuatan PAS di tempat itu yang berjaya merampas Meru dalam tsunami politik 2004.

'Kami tahu strategi mereka'

Sementara itu, ADUN Chempaka Datuk Iskandar Samad ( gambar ) pula mengingatkan tindakan DAP itu hanya akan menguntungkan musuh politik mereka bersama.

“Jika berlaku perpecahan undi yang untung adalah Umno-BN. Bagaimanapun kami dah tahu strategi mereka (DAP).

“Kami telah terima laporan tentang perpindahan pengundi ke DUN PAS. Tetapi kami tetap yakin akan dapat pertahankan kerusi-kerusi kami,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman pula hanya memberikan reaksi ringkas ketika dihubungi.

“(Ini) negara demokrasi. Biar rakyat tentukan,” katanya kepada Malaysiakini .

Manakala wakil Taman Templar Zaidy Abdul Talib pula berkata yakin mempertahankan kawasannya walaupun diasak DAP, bekas sekutu politik mereka.

“Sebagai ADUN Taman Templer saya akan pastikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

“Sehingga hari ini saya optimis yang rakyat memberikan kerjasama dan sokongan kepada saya dan juga PAS. Saya syukur dan terima kasih untuk itu,” katanya.

DAP dan PAS sebelum ini bersekutu dalam Pakatan Rakyat tetapi hubungan itu tidak dapat kekal lama setelah perbalahan berterusan, terutamanya dalam isu pelaksanaan hudud di Kelantan.

Lihat Komen
ADS