Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemimpin gabungan pendesak reformasi pilihan raya BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah hari ini dihadapkan ke mahkamah ekoran pembabitannya dalam demonstrasi besar Ogos lalu.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkaitan perhimpunan BERSIH 4 itu.

Maria didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bawah Seksyen 9(5) akta sama jika sabit kesalahan.

Seksyen ini mewajibkan penganjur memberi notis 10 hari kepada polis sebelum sebarang perhimpunan.

Perhimpunan yang dihadiri lautan penyokong berbaju kuning itu, antaranya, mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia susulan kontroversi derma RM2.6 bilion dan longgokan hutang syarikat pelaburan negara 1MDB.

Hakim Mat Ghani Abdullah hari ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000.

Beliau juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 11 Disember.

Maria diwakili bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Maria berkata pendakwaan terhadapnya itu harus digugurkan kerana berpendapat ia bertentangan dengan perlembagaan.

"Pendakwaan ini sebenarnya tidak mengikut perlembagaan," kata Maria.

Wan Shaharuddin Wan Ladin bertindak sebagai pendakwa raya bagi kes itu.

Maria hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sekitar jam 9.30 pagi tadi diiringi beberapa penyokongnya dengan berpakaian kuning BERSIH 4.

Lihat Komen
ADS