Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BN Selangor hari ini mempersoalkan tentang kertas putih berhubung agensi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang sepatutnya dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang Budiman Zohdi berkata, berdasarkan kenyataan dibuat Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) sebelum ini, kerajaan negeri sepatutnya membentang kertas putih berkenaan sebelum ia beroperasi.

Bagaimanapun, kata Budiman, apa yang berlaku ialah Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dilihat tidak menghormati syor yang dibuat oleh JP-ABAS dengan tidak mengemukakan kertas putih DEIG pada sidang kali ini.

"Dalam sidang DUN lalu ada dinyatakan, kerajaan negeri wajar mengemukakan kertas putih berkaitan DEIG. Tetapi dalam persidangan kali ini ia tidak ada dan hanya sedikit kenyataan daripada exco yang mengatakan penjelasan menteri besar pada sidang DUN lepas memadai.

"Jadi saya nak merujuk, dalam JP-ABAS penggal lepas, jawatan kuasa itu ada sebut sebagai syor dan kewajaran jawatankuasa DEIG tak perlu beroperasi sehingga satu kertas putih dikemukakan dalam sidang DUN akan datang.

"Itu ada dalam jawatankuasa JP-ABAS. Tapi menteri besar tak hormati syor tersebut dan ternyata sidang kali ini, syor itu tak ada," katanya dalam sidang media di lobi Bangunan Annex, Shah Alam.

Selain itu, setiausaha Adun BN Selangor itu berkata, sebagai seorang menteri besar Azmin sepatutnya menjalankan kerjanya secara berpasukan, tidak berseorangan dan tidak gopoh.

"Menteri besar mesti menjalankan kerja sebagai satu pasukan dan tidak gopoh. Isu tidak telus boleh berlaku kerana seperti dia (Azmin) lakukan kerja ini berseorangan, dan tidak kolektif dalam satu pasukan.

"Pada sidang DUN lepas, kebimbangan ini bukan sahaja diutarakan oleh DAP, PAS, PKR tetapi rakan-rakan dari BN juga," katanya lagi.

DEIG dilapor ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan dilancarkan pada Mei tahun ini untuk menguruskan pelaburan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau dikenali juga sebagai MBI.

Difahamkan DEIG akan mula beroperasi pada tahun depan.

DEIG adalah milikan penuh oleh MBI dan mempunyai modal yang dibenarkan sejumlah RM10 juta.

Ia akan akan ditadbir oleh lembaga pengarah terdiri daripada Menteri Besar Selangor, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI, selain disokong golongan professional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.

Lihat Komen
ADS