Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bayaran balik GST hampir RM5 bilion setakat ini

Kerajaan membuat pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak hampir RM5 bilion kepada syarikat setakat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

"Dakwaan mengatakan kerajaan tidak membayar balik adalah tidak benar, malah, setakat ini bayaran balik yang dibuat adalah hampir RM5 bilion.

"Hanya syarikat yang tidak layak untuk bayaran balik, termasuk syarikat yang tidak layak memohon bayaran balik GST, tapi masih menfailkan tuntutan, tidak akan menerima apa-apa bayaran balik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dialog Meja Bulat Pasca Bajet 2016 Corporate Malaysia di sini, hari ini.

Chua berkata sejak pelaksanaan GST, kerajaan telah menolak tuntutan bayaran balik bernilai kira-kira RM400 juta memandangkan terdapat banyak kesilapan oleh syarikat yang membuat tuntutan berkenaan.

Beliau berkata Jabatan Kastam Diraja menjalankan tugas secara lebih berhati-hati ketika memproses tuntutan bayaran balik untuk mengelak ia dibuat kepada akaun yang salah.

Chua turut berkata bayaran balik GST dilaksanakan dalam tempoh 14 hari bekerja meningkat kepada 41 peratus sejak sistem percukaian itu diperkenalkan pada 1 April, 2015, dan kerajaan menjangkakan peratusan itu akan meningkat lagi.

"Malaysia meletakkan sasaran tinggi untuk mencapai sasaran penyelesaian bayaran baik dalam tempoh 14 hari," katanya, dengan menambah, purata proses bayaran balik GST yang digunakan di negara lain mengambil masa kira-kira 50 hari untuk diselesaikan.

Beliau berkata kerajaan mengalu-alukan pengamal perakaunan atau pihak industri untuk mencari jalan bagi memperkukuhkan proses bayaran balik bagi memenuhi sasaran 14 hari tersebut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS