Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suspek pakar masak dadah diberkas di George Town

Polis menahan seorang lelaki disyaki pakar memasak dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Raja Uda di George Town, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata rakyat tempatan berusia 48 tahun itu ditahan di hadapan lif pangsapuri berkenaan pada pukul 10.30 malam.

"Susulan itu, polis membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik lelaki terbabit yang diletakkan di tempat parkir di tingkat empat bangunan pangsapuri itu dan menemui pelbagai jenis dadah.

"Antara dadah yang dirampas dalam but kereta lelaki itu ialah heroin seberat 3.038 kilogram (kg), syabu (6.8 gram), kafein (11kg) dan dua botol berisi cecair asid," katanya pada sidang akhbar di George Town hari ini.

Beliau berkata siasatan polis mendapati lelaki terbabit yang sebelum ini menghasilkan dadah di unit pangsapuri terbabit, dalam proses memindahkan tempat operasinya ke kawasan lain.

Guan berkata lelaki yang dipercayai anggota satu sindiket dadah itu didapati membekalkan dadah kepada pembeli di sekitar negeri ini sejak enam bulan lepas.

"Dia yang baru dibebaskan dari penjara awal tahun ini merupakan antara tukang masak dadah sindiket terbabit yang mempunyai kepakaran untuk menghasilkan heroin dan syabu," katanya.

Beliau berkata lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau terutama berkaitan dadah itu turut positif dadah dan kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas kereta Kia Spectra milik lelaki terbabit dan wang tunai sebanyak RM1,288, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS