Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan Bajet 2016 bagi negeri itu dengan defisit RM45.61 juta berbanding defisit RM70.69 juta dalam bajet tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob ketika membentangkan bajet itu berkata kerajaan negeri menganggarkan perolehan hasil berjumlah RM593.80 juta pada tahun hadapan, manakala perbelanjaan mengurus dianggarkan sebanyak RM639.41 juta.

"Anggaran Hasil 2016 sebanyak RM593.80 juta menunjukkan peningkatan hasil berbanding Anggaran Hasil 2015 berjumlah RM530.83 juta yang dianggarkan dapat menampung sebahagian kenaikan perbelanjaan mengurus menyebabkan penurunan anggaran defisit pada 2016 berbanding 2015," katanya.

Ahmad berkata demikian ketika membentangkan bajet berkenaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di kompleks Kota Darul Naim di Kota Baharu, hari ini.

Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi dan Kewangan Negeri berkata anggaran hasil negeri pada tahun depan dijangka sebanyak RM593.80 juta, meliputi Hasil Cukai sebanyak RM163.49 juta, Hasil Bukan Cukai (RM289.45 juta) dan Terimaan Bukan Hasil (RM140.86 juta).

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan hasil sebanyak RM62.97 juta (11.86 peratus) berbanding Anggaran Hasil 2015 yang berjumlah RM530.83 juta.

"Hasil Hutan merupakan penyumbang terbesar dengan jumlah RM172.96 juta atau 29.12 peratus daripada keseluruhan hasil, menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.05 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan 2015 iaitu sebanyak RM114.91 juta.

"Peningkatan ini adalah anggaran bayaran Perdagangan Karbon yang dijangka dapat dikutip sebanyak RM50 juta apabila kerajaan negeri secara dasarnya telah meluluskan hasil berkenaan," katanya.

Katanya Hasil Hutan yang lain meliputi kayu-kayan akan menyumbangkan sebanyak RM30 juta, bayaran jabatan hutan (RM20 juta), permit lesen perhutanan (RM1 juta) dan premium perhutanan (RM70 juta).

"Penyumbang hasil kedua terbesar pula adalah Hasil tanah berjumlah RM136.98 juta atau 23.07 peratus, meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM42.2 juta, premium tanah (RM47.20 juta), bayaran pendaftaran (RM7.22 juta) serta notis dan denda lewat bayar cukai (RM6.73 juta).

"Manakala Terimaan Dari Agensi Kerajaan menyumbang sejumlah RM112.40 juta atau 18.93 peratus, Terimaan Lain-lain sebanyak RM87.88 juta (14.80 peratus), Hasil Perlombongan sebanyak RM62.50 juta (10.53 peratus), Hasil Air sebanyak RM13 juta (2.19 peratus), Hasil Pelaburan sebanyak RM4.76 juta (0.80 peratus) dan Hasil Rumah Awam Kos Rendah sebanyak RM3.34 juta (0.56 peratus) daripada keseluruhan jumlah hasil pada 2016," katanya.

Ahmad berkata, bagi Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2016 pula berjumlah RM639.41 juta berbanding RM601.51 juta pada 2015, meningkat sebanyak RM37.9 juta (6.30 peratus), merangkumi Perbelanjaan Tanggungan (24.14 juta) dan Perbelanjaan Bekalan (RM615.27 juta).

"Dari jumlah tersebut, RM331.19 juta (51.80 peratus) adalah untuk pemberian dan Kenaan Tetap, RM185.63 juta (29.03 peratus) untuk Emolumen, RM100.87 juta (15.77 peratus) bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM19.51 juta (3.05 peratus) untuk Aset dan RM2.21 juta (0.35 peratus) untuk Lain-lain Perbelanjaan," katanya.

"Peruntukan pembangunan bagi 2016 pula berjumlah RM277.22 juta yang dibiayai di bawah peruntukan negeri termasuk sebanyak RM90 juta daripada sumber pinjaman," katanya.

Ahmad berkata bagi memperkasakan pembangunan insan berteraskan Islam, kerajaan negeri memperuntukan RM6.51 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan untuk melaksanakan pelbagai program seperti aktiviti dakwah dan kursus bina insan.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM78 juta kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan peruntukan sebanyak RM21.1 juta kepada Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan untuk memperluaskan sistem rangkaian jalan negeri.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.36 juta kepada Jabatan Pertanian Negeri, RM2.5 juta untuk Program Usahawan Berdikari manakala RM9 juta kepada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pembangunan Perumahan Awam Mampu Milik.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM5.5 juta di bawah Program Pembangunan Keluarga dan Wanita termasuk sumbangan kepada orang kelainan upaya (OKU), manakala sebanyak RM3.6 juta diperuntukkan bagi program pembangunan pelancongan dan kebudayaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS