Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cemerlang SPM dapat hadiah umrah di Seberang Takir

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua buah sekolah di Seberang Takir yang memperoleh keputusan cemerlang sekaligus menjadi pelajar terbaik negeri akan dibawa mengerjakan umrah di Makkah.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata hadiah itu ditawarkan beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir secara peribadi bagi memberikan galakan agar calon di kawasan itu mampu memberikan keputusan luar biasa yang tidak berlaku sebelum ini.

"Ini merupakan hadiah peribadi saya sebagai wakil rakyat kawasan itu, kalau ada pelajar yang dapat mencipta sejarah, saya akan hantar mereka mengerjakan umrah di samping hadiah lain yang disediakan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di sini bagi menyuntik semangat pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang bermula semalam hingga 8 Nov.

Selain Sekolah Menengah Ibrahim Fikri, sebuah lagi sekolah yang terletak di kawasan Seberang Takir ialah Sekolah Menengah Kompleks Seberang Takir.

Ahmad Razif berkata beliau berharap agar calon-calon SPM dan STPM di negeri ini mampu mencipta rekod cemerlang seperti tahun-tahun sebelumnya.

Seramai 21,235 calon menduduki SPM di 177 pusat peperiksaan termasuk calon berkeperluan khas yang terdiri daripada dua calon buta, bisu (seorang), pekak (17 orang), rabun (lima orang), spastik (dua orang) dan lain-lain kecacatan 39 orang.

Calon yang menduduki peperiksaan STPM pula ialah 2,016 orang di 51 buah pusat peperiksaan termasuk dua orang calon berkeperluan khas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS