Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontrak masjid di Wilayah lalui tender terbuka

Kesemua kontrak projek pembinaan masjid baharu dan baik pulih masjid sedia ada di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah melalui tender terbuka, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setiap pembidaan bagi projek yang disenaraikan, akan melalui beberapa jawatankuasa yang akan menentukan faktor seperti spesifikasi, pembukaan dan penilaian tender, serta lantikan kontraktor, sebelum diluluskan oleh mesyuarat lembaga MAIWP.

"Tatacara MAIWP adalah berdasarkan amalan tadbir urus baik dengan mematuhi proses perolehan kerajaan ... asas pelantikan tak hanya tertakluk pada harga rendah, tapi juga kemunasabahan harga, keupayaan logistik dan pengalaman, serta kekukuhan kewangan oleh pihak kontraktor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang ingin mengetahui tahap ketelusan yang kerajaan amalkan dalam proses pemberian tender kepada kontraktor dalam projek membina dan membaik pulih masjid di bawah kelolaan MAIWP.

Jamil Khir turut menerangkan bahawa peruntukan yang digunakan untuk projek itu diambil daripada wang lebihan zakat selari dengan Fatwa 1995.

"MAIWP menggunakan peruntukan wang daripada wang lebihan pemberian zakat yang telah difatwakan pada 1995, dinamakan al-Faid dan fokusnya adalah Fisabilillah (ke jalan Allah) untuk projek masjid baharu," katanya.

Dalam pada itu, Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diberi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 untuk membina empat masjid baharu, manakala lima lagi masjid sedang dalam proses pembinaan semula dengan kos antara RM8 juta hingga RM13 juta setiap satu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS