Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Promosi bahasa Melayu sebagai ciri utama ASEAN

Bahasa Melayu perlu dipromosikan sebagai satu daripada ciri utama pembentukan Komuniti ASEAN, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata untuk muncul sebagai sebuah komuniti, sifat kebangsaan ASEAN harus dibentuk melalui ciri penggunaan bahasa yang seragam dan sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia perlu menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin.

"Justeru, Komuniti ASEAN berteraskan rakyat, rakyat negara anggota wajar diberi kefahaman tentang konsep dan ciri sesebuah komuniti itu dan ia penting bagi pastikan matlamat merapatkan hubungan mesra antara negara dapat dicapai dengan berkesan.

"Masyarakat ASEAN hendaklah dilihat sebagai satu entiti bangsa yang tersendiri dan unik dengan keragaman budayanya," katanya semasa merasmikan Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang hari ini.

Bertemakan "Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN", seminar anjuran Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dan Dewan Bahasa dan Pustaka itu bertujuan menghimpunkan pandangan pakar-pakar bahasa untuk menampilkan resolusi yang mantap ke arah memartabatkan bahasA Melayu sebagai bahasa ASEAN. Pembentukan Komuniti ASEAN disasarkan direalisasikan menjelang akhir tahun ini.

Salleh berkata dengan jumlah penutur sebanyak kira-kira 400 juta orang, dan menjadi bahasa utama di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand dan selatan Filipina, seharusnya potensi bahasa Melayu dibawa ke depan untuk dipromosikan sebagai bahasa komuniti ASEAN.

Beliau berharap seminar itu bakal menjadi pencetus idea bagi menggerakkan usaha membawa bahasa Melayu ke persada Komuniti ASEAN dengan setiap idea dan saranan yang dikemukakan harus diperhalusi dan diikuti dengan langkah susulan.

Katanya terdapat dua aspek besar yang perlu diberi perhatian iaitu aspek status dan aspek pembinaan korpus, antaranya membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah sebuah bahasa yang relevan, dinamik dan mampu bertindak sebagai bahasa ASEAN.

Pada masa sama, Salleh berkata korpus bahasa Melayu perlu terus dibina dengan mengambil kira bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, selatan Thailand dan selatan Filipina.

Justeru itu, rakyat Malaysia sewajarnya melengkapkan diri dengan penguasaan bahasa yang bagus, ilmu pengetahuan yang relevan dan sesuai dengan keadaan semasa untuk menghadapi persaingan dalam segala aspek, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS