Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta supaya Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) mengkaji sama ada Darul Ehsan Investment Group (DEIG) ada membuat perbelanjaan awal sebelum ia beroperasi.

Beliau berkata, sebelum sesuatu organisasi beroperasi, perkara penting yang mesti dilihat ialah berapa banyak jumlah perbelanjaan awal atau dana berkaitan anak syarikat negeri Selangor itu telah dibelanjakan.

"Saya minta pihak JP-ABAS sendiri membuat kajian.

“Apa yang kita panggil perbelanjaan awal, salah satu perkara yang mesti kita tengok sebelum sesuatu organisasi ditubuhkan ialah melihat berapa banyak perbelanjaan awal yang diguna atau dilakukan dana dalam DEIG ini.

“(Atau) membuat transaksi atau urusniaga walaupun belum mendapat kelulusan muktamad dari kerajaan negeri.

"Ini sebagai beberapa contoh supaya bajet yang kita lakukan ini dalam keadaan telus dan juga seperti yang dinyatakan dalam bajet oleh menteri besar.

“Ia tanggungjawab yang sangat penting dalam menentukan harta-harta di Selangor ini dijaga dengan penuh tertib dan tanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan belanjawan 2016 di Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Selain itu, bekas menteri besar Selangor itu juga mencadangkan supaya kerajaan negeri memberitahu sidang dewan berhubung perbelanjaan yang dibuat menggunakan wang simpanan negeri.

Simpanan untuk pembangunan

Abdul Khalid juga mencadangkan supaya wang simpanan negeri digunakann khas untuk pembangunan seperti pembinaan sekolah dan masjid.

Katanya, dengan cara itu ia dapat membantu menambahkan lagi jumlah wang simpanan negeri.

"Apa yang saya ingin cadangkan ialah (kerajaan) negeri mesti umumkan tiap-tiap tahun berapa jumlah simpanan itu. Kita tak boleh gunakan simpanan tersebut melainkan untuk pembangunan.

"Jika perlu, ia perlu khas digunakan untuk pembangunan. Bila nak guna, kita perlu bentangkan di dewan. Jadi dengan cara itu, dewan negeri dapat mengukur dan mengetahui tentang apa kita guna untuk simpanan kita.

"Apa yang berlaku sekarang dan satu dekad lalu, kita tak boleh menyatakan simpanan ini sama ada untuk pembangunan atau apa yang kita buat dengannya. Tak ada.

"Oleh itu, kita kena ubah strategi iaitu setiap simpanan akan diguna untuk pembangunan seperti sekolah, bina masjid. Kita mesti ubah tatacara pengurusan perbelanjaan ini supaya dapat lagi lebih sasaran. Jadi ini juga kita mungkin akan dapat menambahkan simpanan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS