Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BN Selangor hari ini mempersoalkan dakwaan pinjaman wang berjumlah RM500 juta yang diterima anak syarikat Darul Ehsan Investment Group (DEIG), DEIG Land.

ADUN Sungai Panjang Budiman Zohdi berkata, DEIG Land ketika itu baru ditubuhkan dua bulan - 19 Mei – tetapi mendapat pinjaman daripada sebuah bank tempatan pada bulan Julai.

Malah, katanya, ketika DEIG Land mula ditubuhkan, syarikat itu hanya mempunyai dua lembaga pengarah, iaitu lembaga pengarah yang sama dengan DEIG.

Selain itu, Budiman turut mendakwa, pinjaman yang diperoleh DEIG Land itu juga bertujuan untuk melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri.

Katanya lagi, apa yang menjadi persoalan ialah Menteri Besar Mohamed Azmin Ali sebelum ini memaklumkan bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi tetapi telah mendapat pinjaman.

"Kami dimaklumkan pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima daripada kumpulan perbankan utama di Malaysia tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang KDEB.

"Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan, DEIG Land hanya mempunyai dua orang ahli lembaha pengarah dan dua orang pemegang saham.

"Pada masa sama juga menteri besar memaklumkan DUN Selangor bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di lobi bangunan Annex, Shah Alam.

Semalam Azmin memberitahu DUN, sebanyak RM413.2 juta hutang yang masih belum dibayar KDEB terhadap kerajaan negeri.

Jumlah pinjaman KDEB yang terkini termasuk caj pembiayaan empat peratus setahun ialah RM429.728 juta.

Ia menjadikan hutang KDEB kini sebanyak RM424.728 juta setelah ditolak RM5 juta jumlah yang dibayar sebelum ini.

Sehubungan itu Budiman yang juga setiausaha ADUN BN Selangor berkata, kenyataan Azmin berhubung hutang KDEB itu menunjukkan seolah-oleh kumpulan tersebut tidak mampu menyelesaikan hutang pinjaman itu.

Menurutnya, hutang tersebut diluluskan DUN pada 2013 bertujuan bagi membiayai pengambilalihan sepenuhnya pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang gagal menguruskan lebih 7,000 ekar tanah di Selangor bernilai lebih RM6 bilion.

"Seperti kenyataan menteri besar semalam menggambarkan seolah-olah KDEB tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sedangkan proses mengambil alih pegangan saham dalam KHSB masih berjalan.

"Kenyataan tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat dan memberi kepercayaan kepada maklumat yang diterima bahawa DEIG bakal mengambil alih hutang KDEB dengan memindahkan DEIG Land Sdn Bhd - anak syarikat DEIG – terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB yang amat bernilai.

"Justeru kita tuntut penjelasan dari menteri besar dan menggesa agar menteri besar memberi perhatian serius terhadap semua isu yang saya bangkitkan kerana ia sangat kritikal dan melibatkan soal ketelusan, tanggungjawab, kejujuran dan integriti," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS