Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas Malaysiakini, The Star disiasat
Diterbitkan:  Nov 7, 2015 1:14 PM
Dikemaskini: 5:21 AM

Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengunjungi ibu pejabat akhbar The Star di Petaling Jaya pagi tadi dan meminta membawa pulang satu daripada komputer dari situ.

Difahamkan ia adalah sebahagian daripada proses siasatan pihak berkuasa terhadap laporan mengenai perpindahan timbalan pendakwa raya yang ditempatkan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beberapa hari lalu.

Pegawai terbabit dikenali sebagai Ahmad Shazalee Abdul Khairi.

Dia adalah sebahagian daripada petugas SPRM yang menjalankan siasatan terhadap bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

The Star Online hari ini melaporkan, anggota polis dan SKMM tiba di Menara Star kira-kira jam 10.55 pagi tadi.

Pindah dalaman

Semalam polis dan SKMM menyerbu pejaba t Malaysiakini dan mengambil salah satu komputer digunakan kakitangan portal berta berkenaan.

The Star Online melaporkan, wartawan yang menulis berita mengenai perpindahan Ahmad Shazalee ditanya beberapa soalan oleh anggota penyiasat.

"Mereka juga meminta mengambil komputer yang digunakan untuk menulis laporan itu," lapornya.

Semalam polis memberitahu siasatan terhadap Malaysiakini dan The Star dibuat berdasarkan aduan oleh Pejabat Peguam Negara pada 3 November.

Dua laporan yang menjadi asas kepada aduan berkenaan ialah "Sudden transfer for MACC prosecutor" oleh Malaysiakini dan "MACC prosecutor 'shocked' over sudden transfer" oleh The Star.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri kelmarin mengesahkan seorang timbalan pendakwa raya yang bertugas di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipindahkan secara dalaman.

Malaysiakini pula melaporkan pegawai pendakwa di SPRM hanya ditukarkan tanpa mendakwa beliau dikeluarkan dari SPRM.

Lihat Komen
ADS