Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rozali Ismail bukan lagi peneraju SYABAS
Diterbitkan:  Nov 11, 2015 6:58 PM
Dikemaskini: 11:15 AM

Tan Sri Rozali Ismail bukan lagi pengerusi eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) selepas pengambilalihan oleh Air Selangor Sdn Bhd pada 15 Oktober lepas.

Manakala dua lagi pegawai kanan SYABAS – ketua pegawai eksekutif SYABAS Datuk Ruslan Hassan dan ketua pegawai operasinya Abdul Rashid Abd Satar – ditamatkan kontrak.

Bagaimanapun, menurut sumber, Rozali tidak lagi terlibat dalam pengurusan syarikat itu kerana telah menjual sahamnya kepada Air Selangor.

Malah, sumber itu juga memberitahu SYABAS kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd Suhaimi Kamaralzaman.

Rozali Ismail sebelum ini pernah diserang kerana didakwa menerima gaji terlalu tinggi .

Majalah perniagaan utama Malaysian Business pada Februari tahun lalu menyenaraikan Rozali antara 40 orang terkaya di Malaysia dengan RM543.74 juta.

Kekayaan itu dinilai berdasarkan nilai pegangan dalam syarikat tersenarai pada 18 Jan 2014.

Perkara biasa, kata Azmin

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengesahkan Ruslan dan Rashid ditamatkan perkhidmatan selepas persetujuan bersama.

"Penamatan perkhidmatan adalah perkara biasa dalam mana-mana proses pengambilalihan,” kata Azmin yang memberi jaminan kakitangan lain akan dikekalkan bawah pengurusan baru.

Azmin berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam hari ini.

Pada 10 Julai lalu, kerajaan negeri dan pusat berjaya memuktamadkan penstrukturan semula industri air di Lembah Klang melalui perjanjian persefahaman di Putrajaya.

Berikutan itu, berlaku pengambilalihan dalam Puncak Niaga dan SYABAS, yang menyaksikan perubahan dalam pengurusan syarikat terbabit.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas Rozali berhubung perkembangan tersebut.

Lihat Komen
ADS