Sebuah syarikat peladangan kelapa sawit didakwa telah menceroboh tanah pegangan adat (NCR) di Sepadok, Bahagian Bintulu di utara Sarawak, dan memusnahkan ladang getah dan pokok buah-buahan dan sayuran di kawasan itu.

Penghuni rumah panjang di kawasan terlibat memberitahu malaysiakini bahawa syarikat tersebut -BBC Estate Sdn Bhd, milik syarikat berasaskan balak dan hartanah di Bintulu - tidak menghiraukan bantahan penduduk asal dan sekadar menawarkan mereka pampasan yang tidak munasabah.

Apabila mereka membawa masuk peralatan untuk memulakan kerja pembersihan kawasan tersebut pada 7 September lalu, penghuni rumah panjang tersebut cuba menghalang mereka tetapi sia-sia kerana mereka diiringi ramai anggota polis.

Penduduk terbabit mendakwa, pihak polis memberi amaran mereka akan ditangkap jika cuba menghalangkan kerja pembersihan tersebut.

Tiga penunjuk perasaan wanita dari rumah panjang di situ ditahan dan dibawa ke stesen polis Bintulu. Mereka dibebaskan tiga jam kemudian.

Mereka dikenali sebagai Siah anak Laga, Meliah anak Enjup dan Sadah anak Julau. Difahamkan pihak polis tidak mengeluarkan sebarang saman supaya hadir di mahkamah.

"Penduduk yang sudah berumur yang tinggal di rumah panjang terbabit, menangis apabila melihat jentolak menumbangkan beratus-ratus pokok getah, durian dan pokok engkabang, oren dan sayur-sayuran yang mereka usahakan," kata seorang petani Ernest Dana anak Dian.

"Kami tidak tahu apa yang boleh kami buat lagi," tambahnya.

Rumah panjang Tuai Rumah Madel yang terletak di Kilometer 5, Jalan Sebauh, Pandan hanya kira-kira 30 kilometer jauhnya dari Bandar Bintulu.

Syarikat tersebut meneruskan kerja pembersihan tanah di tengah-tengah bantahan penghuni rumah panjang terbabit. Empat penduduk ditahan pada 1 Disember 2004.

Mereka yang terbabit Ernest Dana (suami Siah anak Laga), Rabent anak Laga, Kedam anak Sulan dan Ulis anak Sait ditahan selama 24 jam di Balai Polis Bintulu dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Mereka dikehendaki hadir di mahkamah pada 3 Januari depan untuk menghadapi tuduhan yang belum lagi diumumkan.

Tawaran tidak munasabah

Bercakap bagi kumpulan tersebut, Ernest Dana memberitahu malaysiakini , wakil lima rumah panjang - TR Madel, TR Berendak, Tuai Rumah Tungkat, TR Linggi dan TR Betik - telah dipanggil oleh pengawai daerah Oktober lalu untuk berdialog bagi mencari jalan penyelesaian.

Mereka diberi tempoh dua minggu untuk memberi jawapan selepas syarikat terbabit membuat tawaran, yang menurut Ernest Dana tidak munasabah. Syarikat itu menawar untuk membayar RM150 untuk setiap hektar tanah terlibat.

"Ini bukan setakat soal wang. Apakah kami tidak mempunyai hak untuk bersuara jika kami tidak mahu melepaskan tanah NCR yang telah diusahakan oleh datuk nenek kami hampir seabad lamanya?," tanyanya.

"Kalau mahu dibayar gantirugi pun, takkan lah cuma RM150? Jumlah itu hanya satu peratus daripada tawaran pampasan untuk tanah NCR (melalui timbangtara) di Bintulu beberapa tahun yang lalu, yang diambil untuk membina kilang kelapa sawit," tambahnya.

Wakil 30 pintu rumah panjang TR Madel, menemui peguam mereka, Baru Bian pagi ini, yang berkata beliau akan menfailkan kes baru selepas penghuni dua daripada tiga rumah panjang terbabit, tidak mahu meneruskan lagi tindakan mahkamah mereka.

Kerajaan Sarawak difahamkan mahu mengeluarkan lebih seratus pajakan sementara untuk tanaman kelapa sawit, perladangan, penanaman semula hutan, pembalakan dan aktiviti kuari di Sarawak dan di banyak kawasan, penduduk asal mendakwa berlakunya pencerobohan terhadap tanah pegangan adat.

Menurut peguam Baru Bian, penghuni terbabit telah menfailkan kira-kira 100 kes tanah NCR terhadap kerajaan dan pelbagai pemegang lesen.

Konflik antara penduduk asal dengan pihak berkuasa semakin meningkatkan apabila kerajaan mula meneroka tanah secara besar-besaran sejak sedekad lalu,terutama untuk tujuan perladangan dan aktiviti pembalakan.

_______________________________________________________

TONY THIEN adalah pemberita sambilan is malaysiakini di Sarawak