Beribu-ribu restoran India Muslim (mamak) di seluruh negara mungkin terpaksa ditutup sekiranya kerajaan tidak berganjak dengan keputusannya untuk menghadkan bilangan pekerja asing di restoran tersebut.

Sebuah restoran mamak memerlukan 10 hingga 20 pekerja asing bergantung kepada saiz perniagaan dengan kebanyakannya bekerja sebagai tukang masak, pelayan dan juruwang.

Bagaimanapun, kerajaan menetapkan pekerja asing hanya boleh diambil sebagai tukang masak sahaja manakala tugas lain diberi kepada pekerja tempatan.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Jemarulkhan Kader berkata, pengusaha restoran tiada pilihan, melainkan menghentikan operasi jika kerajaan tetap tidak membenarkan pekerja asing bekerja di restoran di negara ini.

Terdapat kira-kira 10,000 restoran terutama di bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Kira-kira 7,000 daripadanya menjadi ahli gabungan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia.

"Tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran. Walaupun rata-rata gaji bulanan menjangkau RM1,000 sebulan, makan dan kemudahan tempat tinggal disediakan percuma, tetapi mereka tidak mahu bekerja di restoran.

Tugas juruwang

"Alasannya, bekerja restoran memenatkan, kotor dan malu. Ramai orang Melayu malu untuk menjadi pelayan restoran kerana merasakan kerja itu tidak ada `kelas'," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid mengarahkan supaya jumlah pekerja asing di restoran dihadkan kepada tukang masak sahaja, manakala yang lain rakyat tempatan.

Malah, tugas juruwang, yang menurut Azmi satu tugas mudah, juga perlu dikendalikan oleh rakyat tempatan.

Jemarulkhan bagaimanapun, mempertikaikan arahan tersebut dan mahu ianya diperluaskan merangkumi restoran Cina, India, Timur Tengah dan Thailand yang bercambah di seluruh pelusuk negara.

"Keseluruhan restoran Timur Tengah menggunakan pekerja keturunan Arab. Begitu juga dengan gerai tomyam, semuanya pekerja dari Thailand. Mengapa kerajaan tidak mengeluarkan arahan tukang masak Arab dan Thailand tidak boleh bekerja di restoran mereka?" tanyanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa kerajaan membenarkan pengambilan 300,000 pekerja asing untuk sektor perindustrian negara, tetapi mahu menyekat pekerja asing bekerja di restoran.

"Kenapa berlaku `double standard'? Adakah sumbangan restoran kepada ekonomi negara kecil sehingga mahu mengarahkan pekerja asing dihantar pulang," tegasnya.

Beban pengguna

Majikan membayar kira-kira RM1,2000 dalam bentuk levi kepada kerajaan untuk mendapatkan permit bagi seorang pekerja asing yang perlu diperbaharui setiap tahun.

"Bayangkan berapa banyak wang yang kerajaan perolehi daripada cukai levi itu sahaja kerana jumlah kemasukan pekerja restoran asing ke Malaysia meningkat setiap tahun," katanya.

Katanya, antara pilihan yang terpaksa dibuat oleh pengusaha restoran ialah memperkenalkan konsep layan diri seperti yang dibuat oleh stesen minyak di negara ini.

"Jika tiada pilihan, kita akan memulakannya pada tahun depan atau tahun 2006. Bagaimanapun, konsep layan diri ini rumit dan membebankan pengguna. Pengguna akan buat roti canai sendiri, roti bakar sendiri, teh sendiri dan sebagainya.

"Jangan bandingkan dengan kedai makanan segera. Mereka cuma ada beberapa jenis makanan sahaja, sedangkan restoran berpuluh-puluh?" tambahnya.