Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perancis melancarkan serangan udara semalam (awal hari ini waktu Malaysia) terhadap kubu kuat Negara Islam (IS) al-Raqqa di Syria, manakala di Belgium, gerakan diteruskan memburu lelaki berusia 26 tahun yang disyaki memainkan peranan dalam serangan pengganas di Paris.

Kementerian Pertahanan Perancis berkata pengeboman itu melibatkan 10 pesawat Perancis yang menggugurkan 20 bom, memusnahkan satu kedudukan komando di mana peluru disimpan dan menempatkan kem latihan pengganas, kata kementerian itu, demikian menurut agensi berita Perancis AFP.

Menteri Luar Perancis, Laurent Fabius, ketika bercakap di luar sidang kemuncak G20 di Antalya, berkata Perancis sentiasa menyatakan bahawa perkara biasa baginya untuk bertindak balas dalam mempertahankan diri.

"Itulah yang kita lakukan hari ini dengan melancarkan serangan ke atas Raqqa. Kita tidak boleh membiarkan serangan di Daesh tanpa tindak balas," kata Fabius, yang menggunakan nama alternatif bagi Negara Islam.

Sasaran telah dikenal pasti lebih awal oleh pasukan peninjau Perancis, dan operasi itu dilancarkan "dalam penyelarasan dengan tentera Amerika," kata kementerian itu.

Serangan udara dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas pada malam Jumaat lalu di ibu negara Perancis, di mana sekurang-kurangnya 132 terbunuh dan 350 cedera.

Presiden Perancis Francois Hollande menyifatkan serangan itu sebagai "tindakan perang" dan berikrar untuk bertindak balas terhadap Negara Islam (IS), yang mengaku bertanggungjawab.

Kumpulan Pemantauan bagi Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan udara itu menyebabkan pihak militia pelampau meletakkan pejuangnya di al-Raqqa dalam keadaan berjaga-jaga. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, lapor kumpulan pemantauan itu.

Tentera Udara Perancis menganggotai pakatan yang diketuai AS yang melancarkan pengeboman di sasaran IS di Iraq sejak September 2014. Sejak September tahun ini, Perancis telah beberapa kali menyertai pengeboman tersebut. - dpa

[Baca lebih lanjut]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS