Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan lima termasuk tiga didakwa ahli IS
Diterbitkan:  Nov 16, 2015 8:30 PM
Dikemaskini: 12:32 PM

Polis telah menahan lima individu - empat rakyat Malaysia dan Indonesia - yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengganas berikutan operasi khas di Selangor dan Johor antara 9 hingga 13 Oktober lalu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Menurutnya, tiga daripada mereka, termasuk warga Indonesia itu dipercayai adalah pengikut kumpulan pengganas Megara Islam (IS).

“Seorang daripada suspek yang ditangkap di Johor adalah rakyat Malaysia berusia 22 tahun dan bekerja sebagai penyelia kantin farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.

“Seorang lagi suspek merupakan warganegara Indonesia bekerja sebagai pembantu kantin di farmasi yang sama. Kedua-dua mereka sebelum ini pernah ditangkap oleh anggota Polis, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ledang, Johor di bawah Akta Imigresen.

“Suspek ketiga berusia 40 tahun, berasal dari Petaling Jaya, merupakan bekas pegawai kanan di Felda Global Ventures (FGV). Beliau telah menamatkan perkhidmatan di bawah Skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) pada Ogos lalu.

“Suspek berlepas ke Turki pada 21 Oktober untuk menyusup masuk ke Syria bagi menyertai kumpulan pengganas IS,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, kata Khalid, suspek itu ditangkap oleh pihak berkuasa Turki pada 25 Oktober bersama-sama dengan sembilan warga asing dari etnik Uighur, Morocco dan Russia sebelum diusir balik ke Malaysia.

Khalid juga berkata, dua suspek lain yang berusia 28 dan 30 tahun ditahan di Selangor dan dikatakan sebagai sebahagian daripada kumpulan pengganas 'Imam Mahdi'.

“Suspek yang berusia 30 tahun, bekerja sebagai penjual air soya merupakan bekas anggota sel Al Ghuraba, kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang pernah ditangkap pada tahun 2003 di Karachi, Pakistan.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti dan mengesan saki baki anggota kumpulan ini,” katanya.

Manakala, suspek berusia 28 tahun itu, menurut Khalid disyaki merancang untuk melancarkan serangan di beberapa lokasi di Lembah Klang dan membunuh mana-mana pihak, termasuk ahli keluarga mereka sendiri yang cuba menentang perjuangan mereka.

Katanya, kelima-lima suspek berkenaan kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Lihat Komen
ADS