Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin akar umbi Umno Sepang mohon Najib letak jawatan

Sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan parti itu di Sepang, memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak supaya meletak jawatan.

Jurucakap kumpulan itu, Rushdan Mohamed berkata Najib perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno kerana skandal berpanjangan yang melanda dirinya telah menjadikan beliau sebagai liabiliti.

Sambil menegaskan bahawa Umno bukan milik Najib, beliau berkata, mereka berharap isu-isu tersebut boleh diselesaikan dengan segera, sebelum Umno dan BN ditolak dalam pilihan raya umum ke-14.

Berada di kalangan akar umbi dan pengundi, Rushdan berkata, beliau tidak dapat nampak bagaimana Umno dan BN boleh dipilih semula hari ini.

Oleh itu, beliau benar-benar berharap dan mohon Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno sekiranya beliau sayangkan parti, kerana begitu banyak masa telah pun diberikan kepadanya untuk menyelesaikan semua masalah itu.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kajang malam tadi, Rushdan (gambar) yang juga ketua Umno cawangan Rista Villa Perdana Putra Umno, turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal 1MDB dan 'sumbangan politik' RM2.6 bilion yang dikatakan diterima oleh Najib.

Menurutnya, bagaimana ada sumbangan RM2.6 bilion, sedangkan timbalan presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak tahu mengenainya.

Katanya, mereka sebagai ahli Umno, merasakan jika ada dana sebanyak itu - RM2.6 bilion - mereka tidak seharusnya kehilangan Selangor.

Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku.

Mengenai siapa yang patut menggantikan Najib, Rushdan berkata perkara itu perlu mengikut hierarki parti, yang mana bermakna Muhyiddin akan mengambil alih.

Beliau berkata sebelum ini, apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan untuk berundur, tidak ada pengganti yang jelas tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai timbalan, dipilih juga menggantinya.

Selepas itu, kata Rushdan, BN mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum berikutnya, walaupun pentadbiran Abdullah adalah lebih teruk daripada Mahathir.

Rushdan berkata apa yang rakyat mahu adalah perubahan dan apabila rakyat merasakan bahawa seseorang pemimpin itu tidak lagi relevan, maka dia perlu diganti.

Katanya lagi, jika Najib yakin dengan dakwaannya bahawa beliau mendapat sokongan daripada tiga juta ahli Umno, maka beliau harus mengadakan pemilihan parti.

Rushdan menganggarkan bahawa hanya kira-kira 60 peratus ahli Umno yang menyokong Najib.

Selain itu, katanya, banyak cawangan Umno di seluruh negara, semasa mesyuarat agung masing-masing, telah menggesa supaya pemilihan parti diadakan seperti yang dijadualkan tahun depan, termasuk kira-kira dua pertiga cawangan dalam Umno bahagian Sepang.

Pemilihan parti telah ditangguhkan selama 18 bulan sehingga pertengahan 2018.

Menjawab soalan, Rushdan berkata terdapat lebih 100 cawangan Umno di bahagian Sepang dan beliau berharap lebih banyak cawangan akan tampil menyokong gesaan beliau supaya Najib meletakkan jawatan.

Tambahnya, beliau belum lagi mendapatkan sokongan berhubung gesaannya itu dari cawangan Umno di luar Sepang.

Pasukannya di sidang akhbar itu juga menyatakan bahawa mereka bersedia menghadapi tindakan disiplin daripada parti kerana secara terbuka menggesa peletakan jawatan Najib.

Ditanya mengapa kumpulan itu tidak menunggu sehingga kerajaan menjelaskan mengenai isu 1MDB dan sumbangan itu di Parlimen pada 3 Disember, Rushdan berkata isu-isu tersebut sudah cukup lama berlarutan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS