Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Che Mat Che Ali menegur tindakan pihak yang tidak membayar zakat melalui pusat zakat yang disediakan kerajaan.

Che Mat berkata, walaupun tindakan sesetengah pihak membayar zakat terus kepada institusi tertentu, namun ia dianggap "berdosa" kerana tidak membayar kepada kerajaan memerintah.

Bagi mengukuhkan hujahnya, beliau turut membacakan sepotong ayat al-Quran yang menyeru umat Islam supaya taat kepada Allah, Rasul dan pemerintah.

"Seperti yang Majlis Fatwa Kebangsaan tahun 2006 sebut... kena bayar kepada pemerintah. Tapi ada mereka yang bayar macam ini (tidak kepada pusat zakat) hukumnya sah tetapi berdosa.

"Sebab ini kerajaan. Kalau bayar secara terus, nanti orang yang kita rasa nak bayar, ramai yang bayar di situ sedangkan kalau melalui sistem agihan Baitulmal, kita ada data siapa yang betul-betul orang yang layak atau tidak," katanya.

Beliau menjawab soalan pemberita mengenai sesetengah pihak yang membayar zakat melalui institusi tertentu seperti sekolah tahfiz, selepas majlis penyerahan zakat koperasi 2015 di ibu negara hari ini.

Dalam sidang media itu juga, Che Mat berkata orang ramai perlu membuat pembayaran zakat di pusat yang disediakan bagi memastikan agihan kepada asnaf diberi secara adil.

"Agihan ini kena adil. Kita tak mahu orang buat aduan. Mungkin tak adil untuk dia dapat sumbangan dari orang lain.

"Kita nak mencari pahala dan berkat tapi kalau buat begitu nanti orang lain akan kecewa," katanya lagi.

Sementara itu, PPZ-MAIWP hari ini menerima zakat perniagaan koperasi berjumlah RM1.68 juta daripada 14 buah koperasi yang membuat pembayaran zakat mereka sepanjang tahun haul 2014.

Majlis hari ini diadakan bertujuan memberi galakan serta berharap agar lebih banyak koperasi akan membuat pembayaran zakat perniagaan bagi tahun-tahun seterusnya.

Lihat Komen
ADS