Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: 7 individu ditahan disyaki pecah amanah RM1.5juta
Diterbitkan:  Nov 22, 2015 5:00 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Tujuh individu termasuk seorang pegawai kanan polis ditahan semalam dan hari ini kerana dipercayai terlibat dalam pecah amanah RM1.5 juta membabitkan kontrak mengubah suai dan membaik pulih ibu pejabat Polis Bukit Aman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata enam individu terbabit ditahan semalam manakala seorang lagi individu yang ditahan pada awal pagi tadi merupakan pegawai polis berpangkat tinggi.

"Kegiatan mereka berjaya dikesan oleh naziran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tindakan segera diambil terhadap mereka yang terlibat.

"Kita telah membuat siasatan dan menangkap tujuh individu yang terlibat terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai bawahan dan juga kontraktor," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Sunathon 2015 yang melibatkan seramai 41 orang anak anggota PDRM Bukit Aman berkhatan secara beramai-ramai.

Khalid berkata polis turut mengambil tindakan menyita beberapa kenderaan mewah milik suspek dan juga akaun bank mereka.

"Ada suspek yang direman hari ini, ada yang direman semalam... Kita telah buat tangkapan mulai semalam dan kita tidak akan berkompromi serta membiarkan sesiapa juga melakukan sebarang bentuk jenayah termasuk kakitangan kita sendiri," katanya.

Sebelum ini, akhbar berbahasa Inggeris mendakwa berlaku pecah amanah melibatkan pegawai kanan polis dalam kontrak bernilai RM1.5 juta yang diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.

-Bernama

Lihat Komen
ADS