Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azalina pertahan saiz XXXL kabinet Najib
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 11:44 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Saiz anggota kabinet Perdana Menteri Datuk Najib Razak yang besar dibuat kerana negara semakin berkembang sebagai negara moden.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata negara hari ini berdepan "pelbagai cabaran dan tanggungjawab".

"Negara kita semakin berkembang dengan pesat dan maju. Maka kerana itulah kita tidak boleh semata-mata membandingkan bilangan menteri antara pentadbiran perdana menteri sekarang dan yang lepas-lepas.

"Dalam keadaan dunia tanpa sempadan yang serba moden ini, pelbagai cabaran dan tangungjawab harus dipikul oleh kerajaan demi memastikan Malaysia terus aman, makmur dan sentosa," katanya.

Beliau (BN-Pengerang) berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen bagi menjawab soalan Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) berhubung rasional anggota kabinet Najib yang terdiri daripada 37 menteri dan 32 timbalan menteri.

Azalina berkata perdana menteri mempunyai hak prerogatif untuk menentukan bilangan Kabinet sebagai anggota pentadbiran kerajaan termasuk portfolio dan bidang tugas masing-masing telah dikhususkan.

"Sungguhpun begitu pemilihan menteri dan timbalan menteri untuk setiap kementerian adalah dibuat berdasarkan keperluan yang dirasakan sesuai dengan kehendak semasa," katanya.

Sehubungan itu, menteri dan timbalannya yang dilantik bawah portfolio masing-masing bagi memastikan segala perancangan dan agenda yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Seterusnya memberi manfaat keapda rakyat keseluruhan," katanya.

Lihat Komen
ADS