Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Lima ADUN 'ikut suara hati' untuk berkecuali
Diterbitkan:  Nov 24, 2015 1:14 PM
Dikemaskini: 5:22 AM

PKR berpuas hati dengan penjelasan lima ADUN PKR yang memutuskan untuk berkecuali berhubung usul Umno mengenai projek penambakan laut dalam sidang DUN Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata kelima-lima wakil rakyat parti itu "mengikut suara hati" kerana ia melibatkan isu alam sekitar yang rumit sekalipun parti itu tidak bersetuju mengenai usul Umno itu.

"Secara dasarnya, PKR membenarkan pengundian mengikut suara hati (conscience vote) dalam isu-isu tertentu.

"Pengundian lima ADUN PKR pada Jumaat lalu adalah berdasarkan conscience vote ini kerana ia merupakan suatu isu alam sekitar yang rumit," katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Fahmi berkata tindakan mengikut suara hati itu adalah amalan demokrasi biasa yang perlu digalakkan.

"PKR akan terus membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga memohon agar tiada lagi kenyataan yang dibuat oleh pimpinan PKR kerana ia boleh dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Pakatan Harapan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menuduh wakil rakyat PKR itu "memihak kepada Umno" ekoran tindakan mereka berkecuali untuk menolak usul yang dikemukakan oleh BN.

Ia mengenai isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang yang boleh mengancam habitat dan hidupan laut dan menjejaskan kehidupan nelayan.

Setiausaha agung DAP itu mendesak PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima ADUN parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian itu dan membayangkan rampasan kuasa dalam PKR negeri itu.

Bagaimanapun Angkatan Muda PKR negeri itu mempertahankan tindakan lima ADUN PKR itu sekalipun PKR negeri mempertahankan tindakan Lim itu.

Lihat Komen
ADS