Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penjualan aset penjana tenaga bebas (IPP) di bawah anak syarikat Edra Global Energy Bhd kepada konsortium China - Qatar bertentangan dengan dasar negara yang mengawal aset strategik daripada dijual kepada syarikat asing.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, penjualan aset syarikat itu kepada konsortium asing akan membawa lebih banyak dagangan antara IPP dengan syarikat luar negara pada masa depan.

"Ini bertentangan dengan dasar negara yang selama ini menghalang aset strategik seperti pembekalan elektrik supaya tidak jatuh ke tangan syarikat asing dan tertakluk kepada had pegangan ekuiti asing sebanyak 49 peratus," tegas Naib Presiden PKR itu dalam sidang medianya di ibu pejabat parti itu hari ini.

Semalam Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.

Cuba dua kali

Transaksi itu, kata Arul Kanda, dijangka selesai pada Februari 2016 juga mencatat kejayaan besar dalam pelan rasionalisasi 1MDB, seperti dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei lalu.

"Ada beberapa risiko yang boleh berlaku kepada negara kita mengikut perjanjian 1MDB itu seperti lebih banyak kontrak IPP boleh diserahkan kepada syarikat asing, kebanjiran pekerja asing yang boleh mengganggu peluang pekerjaan warga tempatan dan peningkatan tarif elektrik atara 2016 dan 2022 apabila jualan kuasa konsesi dirundingkan," jelas Rafizi.

Edra Global Energy Bhd dilaporkan bersedia untuk melupuskan semua asetnya kepada konsortium China dan Qatar itu dengan nilai RM9.83 bilion, menjadikannya penggabungan dan pengambilalihan tawaran terbesar dalam tahun sektor tenaga Asia ketika ini.

Rafizi berkata, beliau telah memfailkan usul mengenai isu itu sebanyak dua kali di Dewan Rakyat supaya ia boleh dibahaskan namun ditolak Speaker.

Beliau juga menyelar Ahli Parlimen BN kerana tidak bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara dalam isu berkenaan.

"Saya telah memfailkan dua usul di parlimen tetapi ditolak.

"Salah satu daripadanya adalah untuk menghalang kerajaan menggunakan TNB untuk membayar hutang 1MDB dengan ekuiti aset sekitar RM8 bilion," kata Rafizi.

Lihat Komen
ADS